TM R&D bawa inovasi pengesanan suhu EWAR ke pasaran Maldives | DagangNews Skip to main content

TM R&D bawa inovasi pengesanan suhu EWAR ke pasaran Maldives

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Telekom Malaysia Berhad (TM), menerusi cabang inovasinya, TM Research & Development (TM R&D), kini memperluas inovasi pengesanan suhu tanpa sentuhan dikuasakan oleh aritificial intelligence (AI) iaitu ‘Early Warning, Alert & Response’ atau EWAR ke pasaran Maldives. 

Sebagai langkah memperluaskan capaiannya, TM R&D bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan digital dan telekomunikasi terkemuka di Maldives, Dhiraagu bagi membantu perniagaan negara itu untuk kembali beroperasi sepenuhnya sambil mengekalkan persekitaran yang selamat dengan pemasangan EWAR di premis-premis mereka. 

Inisiatif itu bakal memberikan perniagaan di Maldives dan pihak berkepentingan keyakinan terhadap kelangsungan perniagaan menerusi penyediaan penyelesaian yang menyeluruh.

 

Dr. Sharlene Thiagarajah
Sharlene Thiagarajah

 

Mengulas tentang kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah percaya negara-negara lain turut boleh memanfaatkan EWAR untuk berdepan cabaran pandemik COVID-19 dengan lebih baik.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Dhiraagu bagi memperkenalkan EWAR, penyelesaian pengesanan suhu tanpa sentuhan yang diyakini dan tepat kepada perniagaan-perniagaan di Maldives. Dalam kita menghadapi tempoh yang tidak dijangka ini, prosedur kesihatan untuk mengekang pandemik COVID-19 adalah universal, justeru inilah sebab kami percaya EWAR mempunyai dua tujuan utama iaitu untuk memberi amaran awal suhu tinggi secara efisien dan mengurangkan kendalian manusia. 

“Kami melihat ini sebagai langkah pertama untuk mempamerkan bagaimana inovasi penyelesaian digital yang dibangunkan bakat-bakat di Malaysia seperti EWAR boleh membantu memerangi COVID-19 di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TM R&D memperkenalkan dua produk utama di bawah EWAR, iaitu EWAR Crowds dan EWAR Compact pada bulan April lalu.

EWAR Crowds direka untuk pengesanan suhu badan secara pantas bagi kira-kira 10 hingga 15 individu sesaat secara serentak di kawasan trafik tinggi. 

Teknologi itu tidak mengganggu dan boleh dipasang dengan mudah di lokasi-lokasi yang mempunyai aliran trafik tinggi antaranya pejabat, pusat beli-belah, hab pengangkutan, universiti, sekolah, lokasi tumpuan pelancong, lapangan terbang, pusat imigresen, dan hospital. 

EWAR Compact pula lebih sesuai untuk mengesan suhu tanpa sentuhan secara bersemuka. 

Ini membantu mengurangkan keperluan terhadap peranti pengesan suhu yang dipegang serta meminimumkan barisan yang panjang dan meningkatkan tahap kecekapan. 

“Dalam kita mengharungi normal baharu, kami akan terus memperkenalkan penyelesaian-penyelesaian digital pintar yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan membantu memenuhi keperluan digital perniagaan. Ini menepati sasaran kami untuk memenuhi gaya hidup lebih digital dan selari dengan sokongan kami kepada peranan unik TM dalam memacu digital Malaysia,” tambah beliau.

 

Mahmoud Dasser
Mahmoud Dasser. - Gambar oleh corporatemaldives.com

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Dhiraagu, Mahmoud Dasser berkata, penyelesaian EWAR telah dibangunkan dengan kadar ketepatan yang tinggi untuk pengesanan suhu.

“Kami gembira dapat berkolaborasi dengan TM R&D untuk membawakan penyelesaian lengkap ini kepada syarikat-syarikat tempatan bagi memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya dalam kenyataan sama. 

EWAR telah dipasang di lebih 150 lokasi merentasi beberapa vertikal industri bagi menyediakan saringan yang tepat dan mudah untuk kakitangan dan pelawat.

Ini termasuklah pusat kuarantin dan rawatan kes-kes COVID-19 di Malaysia iaitu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, lobi-lobi pejabat bersaiz sederhana dan luas, 12 buah sekolah, hotel, kaunter pembayaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), galeri-galeri jualan, dan tapak-tapak pembinaan milik Gamuda Land. - DagangNews.com