TM R&D raih dua kemenangan global | DagangNews Skip to main content

TM R&D raih dua kemenangan global

 

 

KUALA LUMPUR, 16 Okt. – Pusat inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM), Telekom Research & Development Sdn Bhd sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dengan meraih dua anugerah global berprestij di TM Forum Excellence Awards 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, kemenangan berganda yang tidak dijangka itu merupakan satu pengiktirafan besar bagi pusat inovasi tersebut.

“Kami amat teruja kerana dua solusi pintar TM R&D yang dibangunkan secara dalaman dengan kerjasama Air Selangor dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan di TM diiktiraf oleh pakar-pakar industri global seperti TM Forum,” jelas Dr. Sharlene.

Kedua-dua solusi inovatif TM tersebut - Smart Water Integrated Management System (SWIMS) yang memenangi kategori Melangkaui Sambungan, dan Kepintaran Buatan (A.I), serta Intelligent Network Diagnostic & Expert Advisory System for Service Desk (IDEAS+) bagi kategori Data & Analitik kini boleh didapati secara komersil di peringkat domestik dan bersedia ke pasaran global.

SWIMS merupakan solusi Air Berinternet (IoW) yang berfungsi seperti Internet of Things (IoT) untuk pelbagai industri dengan menawarkan pemahaman baharu serta mendalam terhadap operasi pengurusan air, serta perkakasan yang sesuai untuk melaksanakan pemahaman tersebut.

“SWIMS menawarkan pengurusan air pintar menyeluruh yang meningkatkan pengurusan air bukan berasaskan keuntungan dengan memaksimakan baikpulih serta penggantian infrastruktur air yang usang selain meningkatkan tindak balas terhadap keadaan cuaca seperti paras air dan kualiti,” kongsi Dr. Sharlene.

Berdasarkan maklum balas daripada Air Selangor, tahap paparan penggunaan air meningkat sebanyak 3,000% dan ketepatan bacaan meter meningkat 10-15% menerusi penggunaan SWIMS.

IDEAS+ pula merupakan pusat sehenti sistem diagnosis dan nasihat pintar bagi ejen-ejen di pusat panggilan TM menyediakan jangkaan panduan serta langkah-langkah pengenalpastian dengan ketepatan melebihi 95%.

“Kami yakin TM R&D kini berada di landasan yang tepat bagi menyokong aspirasi Digital Malaysia TM dalam memacu Malaysia ke arah matlamat sebuah negara digital,” tambahnya.

Sejak tahun 2007, TM Forum Excellence Awards mengiktirafkan syarikat-syarikat terkemuka dunia atas pencapaian-pencapaian inovatif mereka berdasarkan pelbagai aspek termasuk transformasi digital, ketangkasan perniagaan dan IT serta inovasi produk dan perkhidmatan inovasi dalam AI. – DagangNews.com