TM R&D rangkul 2 anugerah World Communication Awards 2020 | DagangNews Skip to main content

TM R&D rangkul 2 anugerah World Communication Awards 2020

TM

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Cabang inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM), Telekom Research & Development Sdn. Bhd. (TM R&D) berjaya merangkul dua anugerah berprestij di World Communication Awards 2020 yang dianjurkan secara maya di London, United Kingdom (UK).

Syarikat berkenaan diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Inovasi IoT melalui penyelesaian inovatif iaitu Sistem Pengurusan Air Bersepadu Pintar (Smart Water Integrated Management System- SWIMS).

Sementara kejayaan kedua ialah Anugerah Inovasi Data menerusi Sistem Pengurusan Tenaga Perusahaan
(Enterprise Energy Management System – EENT).

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene berkata, dua anugerah tersebut menjadi anugerah keempat dan kelima yang diterima oleh TM R&D bagi tahun 2020.

“Ini sememangnya detik yang membanggakan bagi kami di TM R&D. Mendapat pengiktirafan bagi penyelesaian pintar kami yang dibangunkan secara dalaman di World Communication Awards, sememangnya menjadi dorongan yang kuat bagi kami
untuk terus memperkukuh kedudukan kami sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi. 

"Kami akan terus berinovasi untuk penggunaan dan memperkenalkan penyelesaian-penyelesaian digital yang lebih pintar yang akan mempertingkat dan mengubah kehidupan serta perniagaan sambil pada masa yang sama menyokong aspirasi dan peranan unik TM sebagai pemacu Digital Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam industri telekomunikasi global, World Communication Awards adalah pencapaian yang terbaik. 

Diperkenalkan lebih dari 22 tahun, anugerah tersebut telah mengiktiraf keunggulan inovasi dalam syarikat telekomunikasi global selain berjaya menarik ratusan penyertaan pada setiap tahun.

Mengulas berkaitan sistem yang dihasilkan oleh TM R&D itu, beliau memberitahu, SWIMS adalah penyelesaian Air Berinternet (Internet of Water – IoW) yang menawarkan  pengurusan air pintar menyeluruh.

"Ia mengoptimumkan baikpulih dan penggantian infrastruktur air yang usang serta meningkatkan tindak balas terhadap keadaan cuaca seperti paras air dan kualiti.

"Sementara itu, EENT pula merupakan penyelesaian pengurusan tenaga internet yang menawarkan sistem pemantauan tenaga pintar menyeluruh yang menambahbaik pengurusan tenaga, mengoptimumkan penggunaan tenaga serta meningkatkan tindak balas terhadap pelan penjimatan tenaga," katanya lagi. - DagangNews.com