TM R&D sumbang peralatan RM3.5j kepada universiti tempatan | DagangNews Skip to main content

TM R&D sumbang peralatan RM3.5j kepada universiti tempatan

TM R&D

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Julai - Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui TM Research and Development (TM R&D) menyumbang peralatan yang dimilikinya dengan nilai RM3.5 juta kepada universiti-universiti tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah  berkata, peralatan yang disumbangkan itu adalah termasuk komponen dan bahan-bahan bagi tujuan  kajian dan pembangunan (R&D).

"TM R&D percaya bahawa budaya R&D yang kukuh amat penting untuk melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara digital. Dengan mendedahkan para pelajar kepada peralatan kajian, kami berharap ini melengkapkan pembelajaran teori di dalam kelas.

"Ini menunjukkan peranan strategik kami sebagai pemangkin dalam mempersiap kumpulan tenaga kerja berbakat untuk industri pada masa hadapan yang merupakan komponen penting dalam memacu aspirasi negara digital," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumbangan peralatan tersebut bertujuan untuk menempatkan peralatan berteknologi tinggi bagi meningkatkan minat para pelajar terhadap sains dan teknologi ke arah melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

DR. SHARLENE THIAGARAJAH
DR. SHARLENE THIAGARAJAH

 

Bermula pada November 2019, peralatan berkaitan teknologi telah diagihkan kepada empat buah universiti tempatan seperti Fakulti Kejuruteraan di Universiti Multimedia (MMU), Fakulti Kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Fakulti Kejuruteraan dan Sains Lee Kong Chian di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektroniknano (IMEN) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Terbaharu, peralatan Low Temperature Co-Fire Ceramic (LTCC) yang bernilai RM1.79 juta ditempatkan di Fakulti Kejuruteraan di UPM.

Teknologi tersebut digunakan dalam pemasangan dan pembungkusan komponen elektronik pelbagai lapisan untuk industri elektronik selain beberapa peralatan lain seperti Sistem Percetakan KEKO, Ceramic Foil Stacker, Viscometer dan Isostatic Laminator Machine.

Fakulti kejuruteraan di MMU pula menerima peralatan saintifik khusus untuk kajian inovatif termasuk keupayaan untuk menyokong proses pembuatan peranti perubatan elektronik, peranti mikroelektronik, sirkit bersepadu (ICs) dan Organic Light-Emitting Diode (OLED) bernilai RM1.26 juta.

Institusi Kejuruteraan Mikro dan Elektroniknano di UKM pula menerima 3-D Contact Optical Profiler yang bernilai RM495,000.

Jelas Sharlene lagi, pihaknya amat gembira dapat menyokong fokus Tanggungjawab Korporat (CR) Kumpulan TM untuk memperkasa pelajar menerusi inovasi dan teknologi.

"Dengan akses kepada peralatan berteknologi tinggi, kami harap para pelajar akan dapat mencipta penyelesaian bagi memberi manfaat kepada manusia sejagat.

"Melalui usaha ini, kami beraspirasi untuk memperkasa pemimpin masa hadapan dengan kemahiran berkaitan inovasi dan teknologi bagi menjadikan kehidupan dan perniagaan lebih mudah demi kesejahteraan Malaysia," katanya. - DagangNews.com