TM rekod untung bersih Q3 RM329.4 juta | DagangNews Skip to main content

TM rekod untung bersih Q3 RM329.4 juta

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Untung bersih Telekom Malaysia Bhd. (TM) meningkat 26.1% kepada RM329.4 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020 berbanding RM261.31 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, perolehan TM bagi suku berkenaan bagaimanapun menurun kepada RM2.69 bilion berbanding RM2.85 bilion. 

 

Bagi perbandingan suku ke suku pula, perolehan naik 3.8% daripada RM2.59 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2020 berikutan hasil yang lebih tinggi daripada perkhidmatan suara, internet dan data.

 

Perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dilaporkan kumpulan meningkat 7.0% suku ke suku kepada RM456.2 juta, berbanding RM426.3 juta suku sebelumya didorong oleh kos operasi yang lebih rendah susulan momentum berterusan kumpulan menerusi program pengoptimuman kos.

 

Ini seterusnya membawa kepada kepada peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) sebanyak 19.9% bagi suku ke suku kepada RM329.5 juta berbanding RM274.7 juta.

 

Pada suku ketiga itu juga, syarikat melabur 14.9% daripada hasil untuk perbelanjaan modal (capex) yang berjumlah RM400 juta selari dengan panduan dalam syarikat untuk terus mengoptimumkan rangkaian dan mengerah aset-asetnya. 

 

Daripada jumlah yang dilaburkan, 50% adalah untuk akses rangkaian, 17% untuk rangkaian teras dan baki 33% untuk sistem sokongan. 

 

Imri Mokhtar
Imri Mokhtar

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, usaha yang dilaksanakan kumpulan bagi pengoptimuman kos  memberi hasil dengan EBIT dan PATAMI yang kukuh. 

 

"Ketika kita memasuki bulan ke-9 pandemik Covid-19, keselamatan dan kesihatan ‘Warga TM’ tetap menjadi keutamaan  sambil kami terus menyampaikan kecemerlangan sambungan dan penyelesaian kepada kesemua pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurut beliau, kumpulan menyaksikan unifi memperoleh momentum, dengan mencatatkan pertumbuhan 6.3% kepada 1.65 juta pelanggan dengan pelanggan jalur lebar kini berjumlah 2.26 juta. 

 

Katanya, penembusan konvergens (dengan tiga perkhidmatan atau lebih) tertinggi dalam isi rumah TM sejak 2018, iaitu pada kadar 58%, apabila semakin ramai rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan bekerja secara digital dalam norma baharu ini. 

 

"Rangkaian TM juga kekal stabil sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hasil pengoptimuman rangkaian yang berterusan, biarpun dengan peningkatan penggunaan trafik antara 30% hingga 50% bergantung kepada waktu puncak, sejak Mac hingga November 2020 berikutan lebih ramai rakyat Malaysia bekerja dari rumah," katanya. 

 

Imri berkata, TM berada di hadapan dalam usaha sama dengan penyedia-penyedia perkhidmatan lain, menggerak dan menyampaikan program Jalinan Digital Negara (Jendela). 

 

"Untuk itu, kami terus mencari peluang untuk memenuhi permintaan sambungan pada masa hadapan, selari dengan komitmen kami yang telah terbukti untuk mengekalkan tahap keberuntungan perniagaan, menyesuaikan dan meneroka norma dan peluang baharu daripada situasi dinamik yang dihadapi negara hari ini," ujar beliau. - DagangNews.com