KUALA LUMPUR 21 Feb - Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengumumkan penglibatannya dalam konsortium untuk sistem kabel dasar laut Asia Tenggara-Asia Barat-Eropah Barat 6 (SEA-ME-WE 6).
Sistem tersebut menghubungkan Malaysia dengan beberapa negara iaitu Singapura, Bangladesh, India, Sri Lanka, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.
TM terlibat dalam konsortium itu secara rasmi setelah menandatangani Perjanjian Pembinaan dan Penyelenggaraan (C&MA) dengan semua ahli konsortium baru-baru ini.
SEA-ME-WE 6 menyertai senarai pelaburan TM dalam sistem kabel dasar laut termasuk SEA-ME-WE 3, SEAME-WE 4, SEA-ME-WE 5 serta banyak lagi laluan kabel antarabangsa di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, pelaburan dalam SEA-ME-WE 6 membolehkan kumpulan menangani keperluan kapasiti untuk memenuhi permintaan digital pada masa depan yang semakin meningkat di seluruh Asia dan Eropah.
Katanya, ia juga dapat membantu menyediakan penyelesaian keterhubungan global yang boleh dipercayai, pelbagai dan tidak terganggu kepada para pelanggan.
"Pasa masa sama, ia juga membolehkan TM menyokong penggunaan pusat data 'hyperscalers' dan keperluan masa depan rangkaian 5G di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain TM, konsortium SEA-ME-WE 6 dianggotai oleh pelbagai syarikat pemain global, termasuklah Bangladesh Submarine Cable Company Limited (BSCCL), Bharti Airtel Ltd. (Bharti Airtel), Dhivehi Raajjeyge Gulhun PLC (Dhiraagu), Djibouti Telecom SA (Djibouti Telecom), Etihad Etisalat Company (Mobily), Orange (France), PT Telekomunikasi Indonesia International (Telin), Singapore Telecommunications Limited (Singtel), Sri Lanka Telecom PLC (SLT), Telecom Egypt (TE) dan Trans World Associates (TWA).
Kabel dasar laut SEA-ME-WE 6 akan mendarat di stesen pendaratan kabel baharu TM di Morib, tambahan terkini kepada 4 stesen pendaratan kabel antarabangsa TM sedia ada di negara ini.
Ia berada di kedudukan strategik berdekatan dengan Lembah Klang, yang menjadi lokasi utama kebanyakan pusat data hyperscaler.
Secara dasarnya, SEA-ME-WE 6 akan memberi TM laluan data terpantas (latensi rendah) di antara Malaysia dan Eropah dan menjadi satu rangkaian tambahan yang berpelbagai dan berdaya tahan untuk menampung trafik berbeban tinggi antara Asia dan Eropah.
Dengan kecanggihan teknologi, konsep kabel terbuka, dan reka bentuk kapasiti melebihi 100Tbps, pelaburan terbaharu ini bakal memberikan ahli-ahli konsortium kawalan penuh terhadap pengurusan trafik mereka.
Menurut Imri, pelaburan baharu itu juga akan membantu merealisasikan aspirasi TM untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital serantau dengan memudahkan lebih banyak kabel dasar laut mendarat di Malaysia.
"Ini turut mencerminkan komitmen TM dalam inisiatif MyDigital bagi menarik lebih banyak kabel dasar laut antarabangsa untuk mendarat di Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com