Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee ketika membuat demonstrasi penggunaan 5G sempena majlis pengumuman mengenai ketersediaan komersial perkhidmatan 5G hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Dis - Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan YTL Communications Sdn. Bhd. akan menjadi 2 operator pertama yang menyediakan akses kepada 5G di negara ini.
Ini sejajar dengan komitmen Digital Nasional Bhd. (DNB) untuk mempercepatkan pelancaran 5G dengan liputan sehingga 80% menjelang 2024.
Ketika ini, beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur sudah mula menikmati rangkaian tersebut mulai hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall ketika berucap dalam majlis pengumuman mengenai ketersediaan komersial perkhidmatan 5G mengalu-alukan penyertaan TM dan YTL Communications sebagai pelanggan pertama dalam rangkaian 5G di Malaysia.
"TM adalah penyedia telekomunikasi tertua di negara ini, dan telah memperkenalkan perkhidmatan mereka hampir 40 tahun lalu sejak 1984 manakala YTL Communications pula adalah penyedia rangkaian 4G paling paling baharu dan satu-satunya di Malaysia.
"Kedua-dua syarikat ini mempunyai hampir 4.5 juta pelanggan dengan permintaan purata data setiap bulan antara 40 hingga 50GB setiap pelanggan," katanya.
TM (bagi pihak unifi Mobile) dan YTL Communications (bagi YES) merupakan 2 syarikat pertama yang memanfaatkan tawaran DNB bagi perkhidmatan borong 5G percuma kepada semua pengendali rangkaian mudah alih yang disepadukan dalam rangkaian DNB.
Pengguna akhir dengan peranti 5G akan menikmati purata kelajuan sehingga 100 Mpbs. Ini bermakna pengguna di kawasan liputan 5G paling lemah akan menerima purata 100 Mpbs untuk peranti 5G.
Apa yang lebih penting lagi, DNB akan menyediakan perkhidmatan borong 5G kepada pengendali rangkaian mudah alih pada kos yang lebih rendah berbanding kos semasa untuk menghasilkan kapasiti 4G.
Dengan ini, pengendali rangkaian mudah alih sepatutnya boleh menawarkan harga lebih rendah kepada pelanggan perkhidmatan mudah alih mereka termasuk 5G.
Oleh itu, diharapkan pengendali rangkaian mudah alih boleh menyediakan perkhidmatan ini dengan peranti yang serasi di kawasan liputan.
Sementara itu, sebagai penyedia perkhidmatan borong 5G, DNB tidak akan bersaing dengan industri dalam menyediakan perkhidmatan 5G runcit kepada pengguna akhir.
Sebaliknya, DNB sedang berusaha untuk melengkapi pengendali rangkaian mudah alih dalam mempercepatkan pelaksaaan 5G di negara ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee berkata, ketersediaan 5G didokong oleh ekosistem DNB yang teguh akan mempercepatkan liputan dan penggunaan 5G di seluruh negara.
"Kami teruja menjadi operator pertama untuk membawa perkhidmatan ini kepada rakyat menerusi pelan 5G pertama kami dalam pasaran," katanya.
Sejajar dengan pelancaran 5G di Malaysia, YTL Communications turut mengumumkan perkhidmatan telekomunikasi YES akan melancarkan pelan istimewa YES #FirstTo5G yang merangkumi akses 5G tanpa had sehingga 1 April 2022. - DagangNews.com