TNB bantu lebih ramai Orang Asli di Gua Musang terima vaksin | DagangNews Skip to main content

TNB bantu lebih ramai Orang Asli di Gua Musang terima vaksin

Seorang penduduk orang asli di Pos Pulat mendapatkan vaksin mereka dalam Program Imunisasi Vaksinasi Orang Asli dan Penduduk sekitar Gua Musang pada 14 sehingga 17 September lalu.

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB), melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) terus membantu masyarakat Orang Asli sekitar Gua Musang mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi Vaksinasi Orang Asli.

 

TNB berkata, program terbaru vaksinasi pada 14 sehingga 17 September lalu, seramai 288 Orang Asli lagi telah menerima vaksin jenis Pfizer dan Cansino, menjadikan keseluruhannya hampir 2,300 dapat manfaat Program Imunisasi Vaksinasi Orang Asli.

 

''Mereka terdiri daripada 90 Orang Asli di Pos Pulat manakala baki 198 lagi terdiri daripada Orang Asli di Pos Bihai,'' kata syarikat utiliti negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

TNB Genco juga turut memberikan sumbangan pek makanan asas kepada 300 keluarga Orang Asli yang terjejas mata pencarian akibat pandemik COVID-19 selain turut memberikan bantuan logistik di kedua-dua pos berkenaan.

 

Pada 2 September lalu, TNB Genco turut bekerjasama dengan KKM Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membantu urusan pemberian vaksin selain menyumbang pek makanan asas kepada seramai hampir 2,000 Orang Asli di Pos Brooke dan Pos Hendrop.

 

TNB

 

TNB

 

TNB

 

 

Program Imunisasi Vaksinasi Orang Asli dan Penduduk sekitar Gua Musang ini melibatkan kerjasama TNB Genco bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). - DagangNews.com