Skip to main content

TNB belanja RM426 juta biaya pendidikan, dermasiwa My Brighter Future

KUALA LUMPUR 2 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) membelanjakan RM426 juta dalam tempoh peraturan (RP) sejak 2018 hingga Julai 2021 untuk pembiayaan pendidikan dan dermasiswa My Brighter Future (MyBF).

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah yang diterima oleh setiap pelajar tersebut sangat besar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

 

“Langkah TNB yang sentiasa bersama rakyat adalah satu usaha murni dan manifestasi hubungan bermakna rakyat bersama TNB,” katanya dalam satu hantaran pada Sabtu.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Penganugerahan Biasiswa YTN bagi tahun 2021 di ILSAS, Bangi, Selangor. Turut hadir ialah Presiden/CEO TNB, Datuk Baharin Din dan Pengarah YTN YBhg. Dato' Ir Dr Ibrahim Hussein.

 

Takiyuddin berkata, daripada 8,000 permohonan yang diterima, hanya 93 daripadanya berjaya menerima tawaran biasiswa tersebut.

 

Daripada jumlah itu ujar beliau, 20 pelajar ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala selebihnya di universiti tempatan.

 

Menurutnya, peluang yang diberi harap-harap tidak disia-siakan oleh semua penerima biasiswa YTN bagi mencipta kejayaan untuk masa depan dan seluruh keluarga. Semoga terus tekun dan bersungguh-sungguh semasa berada di kampus untuk mencapai kecemerlangan dalam ilmu serta bidang yang diceburi.

 

''Bagi pihak kerajaan, setinggi-tinggi terima kasih kepada TNB menerusi YTN yang telah membelanjakan sebanyak RM426 juta dalam tempoh regulatory period (RP2) sejak 2018 hingga Julai 2021 untuk pembiayaan Pendidikan dan dermasiswa My Brighter Future. Jumlah yang diterima oleh setiap pelajar adalah nikmat yang sangat besar dan seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.

 

''Langkah TNB yang sentiasa bersama rakyat adalah usaha murni dan merupakan manifestasi hubungan bermakna rakyat bersama TNB,'' kata beliau. - DagangNews.com