TNB berjaya ketepikan tuntutan taksiran cukai RM1.8 bilion, AmInvestment kekal saranan 'beli'  | DagangNews Skip to main content

TNB berjaya ketepikan tuntutan taksiran cukai RM1.8 bilion, AmInvestment kekal saranan 'beli' 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Feb - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan nilai wajar pada RM12 sesaham. 

 

Ini berikutan Mahkamah Tinggi semalam membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan 
TNB untuk mengenepikan taksiran cukai berjumlah RM1.8 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2018.

 

Hakim Datuk Noorin Badaruddin dalam penghakimannya pada Selasa, bersetuju bahawa jumlah berkenaan (RM1.8 billion) dianggap sebagai elaun pelaburan semula (RA).

 

Penganalisisnya, Gan Huey Ling menyifatkan keputusan mahkamah itu dapat memberi rangsangan kepada sentimen harga saham TNB. 

 

"Kami menilai perkembangan ini secara positif kerana keputusan tersebut mungkin menjadi contoh kepada saman undang-undang TNB yang lain terhadap LHDN.

 

"TNB menerima taksiran cukai tambahan berjumlah hampir RM6.1 bilion bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 berkenaan elaun pelaburan semula modal TNB untuk pembesaran dan menaik taraf infrastruktur elektriknya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : Mahkamah Tinggi benarkan permohonan TNB ketepikan taksiran cukai RM1.8 bilion

 

 

Pada 21 Julai 2020, TNB menfailkan permohonan semakan kehakiman yang antara lain bagi mengenepikan keputusan responden yang bertarikh 13 Julai 2020. 

 

Pada dasarnya responden tidak membenarkan tuntutan elaun pelaburan semula pemohon berjumlah RM1,812,506,384.64.

 

Syarikat itu juga memohon pengisytiharan bahawa ia berhak menuntut elaun pelaburan semula di bawah Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967.

 

Menurut Huey Ling, pada akhir tahun lalu, Kapar Energy Ventures yang dimiliki 60% oleh TNB menerima notis taksiran bagi 2011 dan 2014 dan notis tambahan taksiran bagi 2013 hingga 2018 berjumlah RM595.9 juta berkenaan potongan cukai perbelanjaan faedah daripada saham pinjaman tidak bercagar boleh tebus (RULS).

 

Katanya, bagi tahun taksiran 2015 dan 2017, perbicaraan mahkamah substantif telah ditetapkan pada 16 Mac 2022.

 

"Bagi taksiran cukai 2013 dan 2014, keputusan bergantung kepada penghakiman oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perkara ini masih belum selesai," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada impak ke atas pendapatan TNB kerana kumpulan tidak pernah membuat peruntukan bagi semua potensi liabiliti cukainya dalam penyata kewangannya.

 

Setakat 10.56 pagi ini, harga saham TNB menokok 7 sen atau 0.77% kepada RM9.21 dengan 1.81 juta saham diniagakan. - DagangNews.com