Skip to main content

TNB bersedia sedia hadapi banjir: Hubungi 15454 jika terputus bekalan

KUALA LUMPUR 6 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal berkaitan pengurusan bencana banjir untuk musim tengkujuh kali ini.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, matlamat TNB adalah pengurusan bencana banjir yang lancar dan teratur setiap musim tengkujuh, bekalan elektrik yang selamat dan meminimumkan kerosakan pepasangan TNB di kawasan yang dinaiki air.

 

Oleh itu kata beliau, TNB telah pun mengadakan mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, menjalankan sesi latihan menghadapi banjir dan memastikan anggota kerja teknikal berada dalam keadaan siap siaga.

 

Menurutnya, set-set janakuasa bergerak serta janakuasa mudah alih dan perkakas kritikal semasa operasi banjir seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah juga telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk siap sedia digunakan ketika musim tengkujuh.

 

Beliau berkata, TNB juga akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

 

“Sejak banjir besar pada 2014, TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir.

 

 

TNB

 

 

''Namun, jika ada pencawang elektrik yang masih ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan selamat,” tegas Wan Nazmy dalam kenyataan di sini hari ini.

 

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera kami,'' katanya. 

 

Wan Nazmy Wan Mahmood
                Wan Nazmy Wan Mahmood

 

Pasukan Bertindak Kecemasan TNB yang bertugas 24 jam sehari juga akan digerakkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebab lain dengan kadar segera.

 

Wan Nazmy turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air; menjauhi dari menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap bagi mengelakkan renjatan elektrik; dan setelah banjir surut, mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di premis yang dinaiki air. - DagangNews.com