TNB giat perkukuh transformasi digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

TNB giat perkukuh transformasi digital Malaysia

Ketua Projek AMI (Pelanggan) TNB, Datin Siti Laila S. Garieb (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Maevi Sdn. Bhd., Izham Ismail menyampaikan replika produk rumah pintar Maevi bernilai RM2,000 kepada pelanggan ke-sejuta Meter Pintar, Tang Kwee Eng.

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - "Ini benar-benar satu kejutan besar yang saya sangat hargai," luah pelanggan Meter Pintar ke-sejuta, Tang Kwee Eng apabila menerima produk Rumah Pintar Maevi bernilai RM2,000.

 

Malah, Kwee Eng menyifatkan hadiah yang diterimanya itu menjadi permulaan baik yang bagi 2021 dan hadiah sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Berikutan pencapaian pemasangan satu juta unit Meter Pintar di Melaka dan Lembah Klang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya, Maevi Sdn Bhd (Maevi) memberi kejutan kepada pelanggan bertuah itu. 

 

TNB terus meluaskan integrasi inovasi teknologi digital dan Internet of Things (IoT) ke dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. 

 

Dalam masa sama, Maevi turut menggalas peranan penting dalam menyokong rancangan digitalisasi kerajaan, menerusi tawaran produk rumah pintar.

 

Pengarah Projek, Advanced Metering Infrastructure (AMI) TNB, Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata, matlamat syarikat adalah untuk memperkenalkan teknologi yang saling melengkapi bagi mewujudkan masa depan yang lebih lestari serta cekap tenaga bagi meningkatkan daya harap dan ketahanan sistem bekalan negara.

 

"TNB terus berinovasi untuk memberikan penyelesaian terbaik kepada pelanggan, dan dengan pemasangan Meter Pintar serta penambahbaikan aplikasi myTNB, kami berhasrat untuk memperkasa kehidupan pelanggan selain menawarkan kemudahan, ketelusan dan kawalan yang jauh lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Maevi membangunkan produk dan penyelesaian IoT / IoT industri yang bukan sahaja terhad kepada pengurusan dan pengoptimuman tenaga. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maevi, Izham Ismail berkata, Maevi berbangga untuk mendukung usaha TNB memperkasa pelanggan untuk merancang penggunaan elektrik dengan cekap.

 

"Peranti rumah pintar Maevi melengkapi manfaat Meter Pintar memandangkan ia menambah ciri pemantauan tenaga jarak jauh kepada automasi dan keselamatan kediaman, sekaligus menjadikan setiap rumah lebih pintar," jelasnya.

 

TNB berharap dapat meneruskan usaha ke arah usaha transformasi digital dengan pemasangan Meter Pintar di Lembah Klang bagi sepanjang tahun ini, dengan pelan perluasan ke kawasan lain di Malaysia dalam jangka masa terdekat.

 

Bagi maklumat lebih lanjut mengenai Meter Pintar, sila layari https://www.mytnb.com.my/smart-meter. Aplikasi myTNB sedia dimuat turun melalui Apple IOS Store, Google Play dan Huawei App Gallery. - DagangNews.com