Skip to main content

TNB, JUPEM antara 7 penerima anugerah penggunaan teknologi GIS

 

KUALA LUMPUR 11 Jun – Pandemik COVID-19 menyaksikan transformasi digital yang begitu pantas. Malah kini, ia bukan sekadar satu pilihan – ia merupakan satu keperluan.

 

Sehubungan itu, majlis Anugerah GeoInnovation yang berlangsung secara maya baru-baru ini mengiktiraf tujuh organisasi atas pendekatan inovatif mereka bagi membantu masyarakat lebih berdaya tahan dalam menghadapi pandemik ini dan lebih penting, menjalani kehidupan dalam “norma baharu”.

 

“Melihat pada sejarah, tempoh kehidupan yang sukar seringkali melahirkan pencapaian inovasi penting. Ini termasuklah kemajuan legasi teknologi yang merangkumi pengembaraan angkasa lepas, satelit, komputer serta barangan yang menjadi kebiasaan seperti uncang teh dan kasut sneaker. Situasi generasi masa kini yang dilanda pandemik COVID-19 juga tidak jauh berbeza,” kata CEO Esri Malaysia, CS Tan.

 

Menurut Tan, para pemenang dipilih berdasarkan merit penggunaan teknologi geospatial yang digunakan untuk menangani cabaran sebenar dunia yang tiada penyelesaian tradisional.

 

Antara tujuh pemenang berkenaan adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang menggunakan teknologi GIS untuk memeta dan menggambarkan aset-aset elektrik bersama-sama maklumat yang diperlukan menggunakan platform geo-intelligence yang membantu dari segi kerja-kerja perancangan dan operasi bagi memastikan bekalan elektrik berterusan, yang mana TNB bertanggungjawab untuk menyediakan bekalan yang selamat dan boleh dipercayai dalam keadaan persekitaran yang mampan.

 

Di samping itu, TNB turut menggunakan teknologi yang membolehkan pasukan tindak balas krisis syarikat elektrik berkenaan dan semua unit berkaitan bagi mengekalkan bekalan elektrik untuk penduduk di semua kawasan PKPD dan stesen kuarantin.

 

esri
C.S. Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia

 

Di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), teknologi GIS terbukti memainkan peranan dalam keadaan pandemik ini. JUPEM yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, mengendalikan program yang dikenali sebagai Defence Geospatial Information Management (DGIM).

 

DGIM digunakan untuk menyediakan Joint Common Operating Picture (JCOP) dalam usaha melancarkan kerjasama geodata bersama pasukan pengurusan krisis COVID-19. Platform berkenaan antara lain memaparkan bilangan kes harian dan kumulatif seluruh negara, pandangan mengenai pengezonan daerah berdasarkan kod warna dan mengenal pasti kawasan tercemar yang memerlukan proses sanitasi dan melayakkan Jabatan itu muncul sebagai pemenang anugerah GeoInnovation.

 

Menerusi kapasitinya untuk mengumpul dan menggambarkan pelbagai set data daripada beberapa agensi kepada satu platform pemetaan sahaja, pihak berkepentingan terutamanya Majlis Keselamatan Negara, disediakan dengan kesedaran situasi masa sebenar bagi membantu mengatur usaha tindak balas COVID-19 di lapangan.

 

Pemenang lain Anugerah Esri GeoInnovation termasuklah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berikutan GIS berasaskan web yang memberi kemudahan kepada kakitangannya dengan paparan spatial berhubung rangkaian saluran paip dan aset air di Melaka, justeru mengurangkan masa yang digunakan oleh tenaga kerja untuk melakukan perjalanan terutama ketika kemuncak pandemik COVID-19.

 

Sementara itu, teknologi GIS telah membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menyediakan dokumentasi dan viusalisasi set data besar yang sistematik dan penganalisaan di semua bahagian di JPS, Gedung Data Kesihatan Malaysia (MyHDW) di Pusat Informatik Kesihatan (PIK), Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah meningkatkan produktiviti dan kecekepan analitikal di PIK sekali gus menjadikan sistem berkenaan penting kepada inisiatif utama pengurusan sistem kesihatan.

 

MyMarine GeoHub, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah menambah baik aliran kerja pengeluaran carta dan perkongsian data di dalam dan di antara agensi pembekal data. Selain menyediakan pelbagai data untuk produk, program ini dapat mengekalkan dan pembikinan carta secara tradisional dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan di dunia digital ini. Hal ini juga membolehkan pemegang kepentingan mengakses kepada data maritim dan aliran kerja pengeluaran carta yang optimum.

 

Pemenang lain, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang memasang WEGIS turut menyatakan bagaimana teknologi GIS telah meningkatkan operasi mereka terutamanya dari segi penjimatan masa dan kos, membolehkan capaian yang lebih mudah kepada data dan maklumat tepat aset dan kawasannya, justeru ia menyediakan proses membuat keputusan yang lebih baik di peringkat atasan.

 

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang atas pengiktirafan mereka dan mempamerkan daya tahan serta memberikan inspirasi kepada GeoInnovate sepanjang waktu yang mencabar ini,” tambah Tan. - DagangNews.com