Skip to main content

TNB & Kelab Duta Rimba anjur pertandingan pupuk kesedaran kecekapan tenaga

KUALA LUMPUR 18 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Duta Rimba menganjurkan Pertandingan Sinar Rimba 2021 bagi memupuk tabiat penggunaan tenaga elektrik yang cekap dan berhemah dalam kalangan pelajar sekolah.

 

Pertandingan yang dibuka kepada pelajar sekolah rendah bermula Tahun 4 hingga Tahun 6 serta pelajar sekolah menengah (Tingkatan 1-5) bertujuan mendidik generasi muda untuk mengelakkan pembaziran tenaga dan menjimatkan kos di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

 

Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, penjimatan tenaga elektrik melalui penggunaan secara cekap dan optimum oleh setiap individu adalah langkah terbaik bagi menjaga kelestarian alam sekitar, selain memberikan penjimatan terhadap bil elektrik.

 

“Kami berharap kesedaran kecekapan tenaga dapat dipupuk lebih awal dalam kalangan murid-murid sekolah. Ini akan dapat mempengaruhi penggunaan tenaga elektrik di kediaman masing-masing dalam jangka masa yang panjang,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Pelajar yang berminat boleh menyertai pertandingan dengan mendaftar di laman web Kelab Duta Rimba www.jungleambassador.org.

 

Peserta dengan bantuan ibu bapa hanya perlu memuat turun aplikasi myTNB (boleh didapati di Google PlayStore, Apple App Store dan Huawei AppGallery) dan merekodkan bacaan bil elektrik selama empat bulan bermula Mei hingga Ogos 2021.  Pemenang akan ditentukan berdasarkan jumlah penurunan penggunaan tenaga sepanjang tempoh itu.

 

TNB
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan

 

Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati di laman web Kelab Duta Rimba atau dengan menyertai Telegram ‘Sinar Rimba 2021’. Tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2021.

 

Kelab Duta Rimba diwujudkan bagi mempromosi, mendidik dan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan dan kelestarian alam sekitar bagi kumpulan berusia antara 7-25 tahun.

 

Selain memupuk kesedaran tentang kecekapan tenaga, pertandingan Sinar Rimba memberi peluang kepada murid-murid sekolah untuk menyertai aktiviti kokurikulum dari rumah kerana penyertaan dan pencapaian dalam pertandingan ini diiktiraf sebagai Markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

 

Semua peserta layak menerima Sijil Penyertaan dan Lencana Program. Pemenang untuk setiap kategori tahun persekolahan akan dianugerahkan sijil pencapaian serta menerima hadiah baucar tajaan TNB.

 

Presiden Kelab Duta Rimba, Ganesan S. Sittrambaram berkata, setakat 31 Mei 2021, lebih 1,100 murid-murid dari Semenanjung Malaysia telah berdaftar untuk menyertai pertandingan ini.

 

"Kami mengalu-alukan murid-murid dan pihak sekolah untuk mengambil kesempatan semasa pandemik COVID-19 bagi menyertai aktiviti kokurikulum ini. Pertandingan Sinar Rimba 2021 ini mudah dan selamat kerana boleh dilaksanakan bersama keluarga di rumah sendiri,” kata beliau. - DagangNews.com