Skip to main content

TNB lancar Vantage RE Ltd. rancakkan usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus global

KUALA LUMPUR 1 Julai - Syarikat utiliti terulung Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan komitmennya dalam usaha berkaitan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global menerusi pelancaran sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan aset tenaga boleh baharu
(RE), Vantage RE Ltd (Vantage).

 

Platform terbaharu ini akan memiliki, mengendalikan dan mengurus aset-aset dalam portfolio RE di United Kingdom dan serata Eropah.

 

Vantage akan menjadi komponen penting dalam perancangan bermatlamat TNB yang berpaksikan kepada amalan ESG dalam perniagaan syarikat utiliti itu. Selain itu, unjuran pertumbuhan RE yang mantap dan sokongan rangka kerja kawal selia di UK, serta berbekalkan pengalaman di negara itu, telah meletakkan TNB dalam kedudukan yang unik untuk menceburkan diri dalam lebih banyak peluang di benua itu.

 

TNB telah melabur dalam sektor solar dan angin di UK sejak 2017. Sepanjang tempoh empat tahun lalu, TNB berjaya melabur dalam bidang RE di negara itu sebanyak hampir 400MW.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata, cabang perniagaan RE antarabangsa menjadi keutamaan TNB untuk terus berkembang maju dalam jangka masa panjang.

 

"Untuk mencapai aspirasi kami sebagai menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, kami akan terus melabur dalam jumlah yang besar untuk bidang ini.

 

"Kami yakin aktiviti ini akan memberi sumbangan secara meluas terhadap penjanaan rendah karbon dan seterusnya merancakkan komitmen TNB terhadap matlamat ESG. Kami memahami kepentingan ESG terhadap para pelabur, selaras dengan nilai dan keutamaan dalam pemilihan pelaburan mereka.

“Kami tidak akan semata-mata melakukan inisiatif hijau tanpa hala tuju yang jelas, kerana kami tahu satu anjakan penting diperlukan untuk memperluaskan dan mendalami laluan kelestarian global. Dengan penubuhan Vantage, kami berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran keseluruhan kapasiti RE TNB sebanyak 8300MW.

 

"Maka, sejajar dengan visi ESG global TNB, kami akan terus mengembangkan portfolio RE dalam pasaran tumpuan kami serta memanfaatkan aset-aset, pengalaman dan keupayaan sedia ada,” ujar beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Baharin Din
                          Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Baharin Din

 

Berpangkalan di London, Vantage bakal diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vian Davys yang memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang RE di UK dan antarabangsa.

 

Dengan sokongan daripada pasukan yang terdiri daripada pekerja tempatan UK di samping warga kerja TNB dari Malaysia, Vantage bersedia untuk berkembang dengan pantas dalam pasaran, selaras dengan kedudukan TNB sebagai penggiat industri tenaga di UK yang berpengalaman dan diyakini.

 

Pelan pertumbuhan jangka pendek Vantage akan berfokus kepada pengambilalihan Renewable Obligation Certificates (ROCs) tersubsidi dan aset-aset Feed-in-Tariff (FiT) di serata UK dan Ireland.

 

Pada Mei tahun ini, Vantage berjaya menyempurnakan pengambilalihan tambahan turbin angin darat dengan hasil kontrak di bawah skim FiT, menjadikan jumlah kapasiti tenaga angin syarikat kepada 26.6MW. Selain aset-aset sedia ada, Vantage juga sedang mengatur langkah untuk pengambilalihan aset-aset beroperasi termasuk aset yang akan diambil alih menerusi pembidaan bersaingan.

 

Ketua Pegawai Antarabangsa TNB, Shahazwan Harris berkata, langkah ini melakar laluan yang kukuh dan stabil buat Vantage untuk pengambilalihan lebih banyak aset di UK dan Eropah, selain membuktikan kesungguhan TNB untuk mengembangkan perniagaan RE.

 

"Kami bersedia untuk meneroka peluang bersama rakan kongsi ekuiti yang berminat untuk menyertai pertumbuhan pesat perniagaan antarabangsa kami.

 

“Kami yakin platform baharu ini memberi usul nilai yang menarik kepada pelabur strategik dan kewangan yang inginkan pendedahan terhadap aset yang memberi kadar hasil yang stabil, selain komitmen terhadap matlamat ESG,” kata beliau.

 

Jejak RE TNB di UK bermula pada 2017 apabila ia melabur dalam Vortex Solar UK Ltd (Vortex), satu pelaburan ekuiti 50% dalam satu daripada platform solar terbesar di UK dengan skim subsidi ROCs. Pada 2018, portfolio RE TNB di UK semakin berkembang dengan pengambilalihan GVO Wind Ltd dan Bluemerang Capital Ltd.

 

Aset-aset tersebut kini dikendalikan Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), sebuah anak syarikat milik penuh TNB yang memegang portfolio angin terbesar di UK.

 

Pada 2020, TNB melengkapkan pengambilalihan baki 20% pegangan dalam aset tenaga angin TWV menjadikan ia sebagai pemegang saham tunggal, selain tambahan 5% dalam Vortex untuk menjadi pemegang saham majoriti. Langkah ini dilakukan agar TNB bukan sekadar menjadi pemegang ekuiti malah mampu bertindak mengurus dan mengendalikan perniagaan RE tersebut bagi meningkatkan lagi hala tuju ESG TNB.

 

Meskipun berdepan dengan pandemik COVID dan kesannya terhadap dunia, aset-aset RE di UK kekal utuh sepanjang tahun dengan menyumbang kepada margin operasi yang kukuh menerusi inisiatif pengurusan aset yang aktif.

 

Di masa hadapan, Vantage dijangka terus berkembang dan memenuhi potensinya sebagai penggiat RE global, disokong dengan polisi kerajaan yang kondusif, permintaan ESG global yang meningkat dan peralihan kepada RE sebagai sumber tenaga utama. - DagangNews.com