TNB luaskan capaian internet jalur lebar di Melaka | DagangNews Skip to main content

TNB luaskan capaian internet jalur lebar di Melaka

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Sulaiman Md Ali (tengah) menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Melaka, hari ini.

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo) berjaya meluaskan capaian internet jalur lebar di negeri Melaka.

 

Kejayaan itu diperoleh apabila anak syarikatnya itu berhasil melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik yang mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di negeri tersebut bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

 

Melalui infrastruktur gentian optik berkenaan, Allo yang bertindak sebagai penyedia akses terbuka mampu meluaskan potensi capaian internet jalur lebar berkelajuan (HSBB) sehingga 1Gbps di Melaka yang kini disediakan oleh pembekal perkhidmatan runcit (RSP) Maxis, Astro, Digi dan Celcom.

 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejayaan itu adalah susulan projek rintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang dari tiga bulan bermula Januari 2019 yang menghubungkan 1,100 kediaman di Taman Maju, Taman Merbau Perdana dan Felda Kemendor.

 

"Penyediaan infrastuktur HSBB ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini. 

 

"Justeru melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Sulaiman Md. Ali di Melaka, hari ini.

 

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

 

Kawasan terbaharu yang menerima faedah infrastruktur tersebut di Melaka adalah Alor Gajah (8,500 kediaman), Malim Jaya (4,400), Ayer Keroh (500) dan sekitar Jasin (2,500).

 

Tambah Mahdzir, kemudahan infrastruktur gentian optik itu membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mengakses internet jalur lebar pada harga yang berpatutan, seterusnya capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian.

 

Katanya, ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan dalam bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat wabak COVID-19.

 

“Penglibatan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan TNB selama ini sebagai Penggerak Kemajuan Negara dan kini peranan itu diperkukuhkan lagi bagi menangani cabaran Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0),” kata Mahdzir.

 

Dengan memanfaatkan rangkaian gentian optik sepanjang 18,000km yang melalui pencawang elektrik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo berjaya menghubungkan 60,000 kediaman dengan rangkaian gentian optik di Melaka, Perak dan Kedah.

 

TNB menerusi Allo terus mengorak langkah dan melebarkan sayap perkhidmatan jalur lebar di empat negeri lain iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain meluaskan capaian di Perak dan Kedah dengan sasaran capaian 150,000 kediaman yang dijangka selesai pertengahan tahun ini. 

 

Selain itu, Allo juga sedang giat menjalin kerjasama dengan pembekal perkhidmatan runcit (RSP) lain. - DagangNews.com