TNB minta pemaju tidak ceroboh kawasan rentis  | DagangNews Skip to main content

TNB minta pemaju tidak ceroboh kawasan rentis 

TNB menyeru pihak pemaju projek untuk tidak menceroboh kawasan rentis kerana berisiko tinggi. - Tangkap layar rakaman TNB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati pemaju projek untuk tidak melakukan kerja-kerja terlalu hampir dengan kawasan izin lalu rentis (right-of-way) yang mempunyai talian penghantaran voltan tinggi. 

 

Ini bagi mengelakkan kejadian percikan arka (arcing) yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional, ujar TNB dalam sebuah kenyataan.

 

Jelas syarikat utiliti itu, kerja-kerja di dalam kawasan rentis TNB pula amat dilarang kerana risiko percikan arka dan  renjatan elektrik, serta gangguan bekalan kepada sistem Grid Nasional adalah lebih tinggi.  

 

Kawasan rentis menara talian penghantaran adalah dalam jarak 20 hingga 30 meter di sebelah kiri dan kanan menara talian. 

 

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, pihaknya juga mengingatkan bahawa tiada kerja-kerja boleh dilakukan dalam kawasan izin lalu tanpa kebenaran TNB. 

 

Husaini Husin
                                                  Husaini Husin

 

"Janganlah menceroboh kawasan rentis TNB. Dapatkan atau maklumkan kami jika perlu menjalankan kerja di dalam kawasan rentis,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

Menurutnya, pihak yang telah menerima kebenaran TNB untuk bekerja di dalam kawasan rentis pula perlu berhati-hati bagi mengelakkan percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik, sekali gus menyebabkan ketiadaan bekalan pada kawasan yang luas. 

 

“Ribuan pengguna akan terkesan. Percikan arka yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa pelaku,” tambah beliau. 

 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya mengesan tiga kejadian percikan arka menara penghantaran TNB, di Seberang Perai, Pulau Pinang; Klang, dan Subang Jaya, Selangor yang berlaku baru-baru ini di mana telah menyebabkan sistem bekalan elektrik terpelantik. 

 

Pada kejadian tersebut, operator kren yang terlibat telah mengalami renjatan elektrik, mengakibatkan kecederaan serius dengan kelecuran tahap satu. 

 

Tambah TNB, amat dikesalkan juga kerana pihak pemaju projek yang sama telah gagal mematuhi nasihat syarikat walaupun notis dan amaran telah dikeluarkan.

 

Menurut perundangan, sebarang perbuatan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasangan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

 

“Justeru, kami menyeru semua pihak terutama pihak pemaju dan pemilik premis kilang berhampiran talian voltan tinggi untuk sentiasa memberikan kerjasama demi keselamatan bersama. Keprihatinan semua pihak amat dihargai,” ujar TNB lanjut. - DagangNews.com