TNB & Pecinta Alam tanam 1,000 pokok bakau di persisiran Negeri Sembilan | DagangNews Skip to main content

TNB & Pecinta Alam tanam 1,000 pokok bakau di persisiran Negeri Sembilan

 

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmennya terhadap alam sekitar yang lebih hijau dan lestari menerusi usaha pemulihan persisiran pantai Negeri Sembilan dengan menanam 1,000 pokok bakau di Chuah, Port Dickson bermula Januari 2021 hingga Januari 2022.

 

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, projek usaha sama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) adalah bukti kepada satu daripada tonggak utama Tanggungjawab Korporat TNB, iaitu menjaga alam sekitar.

 

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan MNS kerana projek ini bukan sahaja memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), malah mampu membantu menyelesaikan isu alam sekitar di samping memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan hidupan liar,” katanya.

 

tnb
Omar Sidek (kanan) menyerahkan cek kepada I.S. Shanmugaraj bagi kolaborasi antara TNB dan MNS dalam menanam 1,000 pokok bakau di Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12 Januari 2021. Turut hadir, Pengurus Pemasaran & Perkongsian MNS, Raffi Ismail. - Gambar TNB

 

Kawasan persisiran pantai sepanjang Selat Melaka telah lama terkesan akibat hakisan dan degradasi tanah. Pokok bakau menjadi pelindung kawasan persisiran pantai daripada air pasang dan menjadi habitat kepada ikan, kerang dan ketam yang mampu dijadikan sumber pendapatan kepada nelayan.

 

Sejak 2013, TNB menanam 23,600 anak pokok bakau menerusi program pemulihan hutan bakau di Sungai Limau dan Kampung Sungai Tiram di Manjung, Perak; Kampung Kuala Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang; Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor; Kampung Dew, Taiping dan Pasir Panjang, Kinta, Perak; Kampung Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan; dan Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu.

 

Inisiatif di Chuah, Port Dickson adalah kolaborasi kali kedua TNB dengan MNS. Terdahulu, TNB dan MNS bekerjasama menanam 1,000 anak pokok bakau untuk Program Penanaman Pokok Bakau di Pulau Ketam, Perlis pada Disember 2019 dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Perhutanan Perlis.

 

Pengarah Eksekutif MNS, I.S. Shanmugaraj berkata, dengan adanya sokongan TNB, program ini menyasarkan kewujudan habitat baru bagi hidupan liar seperti memerang, burung dan reptilia serta menyediakan bekalan makanan laut yang lestari untuk jangka masa yang panjang.

 

“Projek ini akan membantu pemulihan kanopi sepanjang persisiran pantai dan menjadi sebahagian daripada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSa),” kata Shanmugaraj. - DagangNews.com