Skip to main content

TNB pelihara paya bakau ke arah masa hadapan lestari

Benih-benih bakau yang ditanam berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS), Manjung menerusi program pemulihan hutan bakau TNB.

KUALA LUMPUR 13 Feb - Stesen-stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus berharmoni dengan alam sekitar melalui komitmen memelihara alam sekitar dengan mengekal dan menjaga ekosistem, khususnya paya bakau di sekitar kejiranannya.

 

Ia menjadi antara amanah utama anak syarikat penjanaannya, TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB Genco) yang melaksanakan inisiatif itu bersama masyarakat setempat dengan usahasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

 

Sebanyak 19,800 anak pokok bakau telah ditanam menerusi program pemulihan hutan bakau di Pasir Panjang, Kinta, Perak; Kampung Sungai Tiram serta Kampung Sungai Limau di Manjung, Perak sejak 2013 sehingga kini yang merupakan kejiranan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS), Manjung.

 

Jumlah ini adalah sebahagian daripada sejumlah 23,700 anak benih bakau yang ditanam TNB di negeri-negeri Semenanjung. Selain Perak, TNB turut menanam bakau di pesisiran pantai di Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

 

Ia termasuk empat lokasi habitat kelip-kelip dipulihara oleh TNB di Kampung Kuantan di Kuala Selangor, Selangor; Kampung Dew di Taiping, Perak; Kampung Sungai Timun di Rembau, Negeri Sembilan dan Kampung Yak Yah di Kemaman, Terengganu.

 

Bermula Januari hingga Disember 2021, TNB Genco dengan kerjasama MNS telah menanam 1,167 batang anak pokok bakau di sepanjang pantai Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz, Port Dickson, Negeri Sembilan meskipun berdepan dengan cabaran Pandemik COVID-19.
 

 

TNB
Anak bakau yang sedang membesar berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS), Manjung.

 

TNB
Kejiranan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) menjadi habitat hidupan marin. 

 

Inisiatif berterusan ini sejajar dengan komitmen TNB terhadap isu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sekali gus meningkatkan kepelbagaian spesies flora dan fauna serta menyediakan habitat baru untuk hidupan liar serta mencegah hakisan pantai dalam jangka masa panjang.

 

Ia juga dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat dari segi pembangunan ekonomi baru melalui aktiviti eko-pelancongan sambil memperkayakan sumber hidupan marin, lantas berpontensi  membantu pendapatan para nelayan. - DagangNews.com