TNB peruntuk capex lebih besar ke arah peralihan tenaga | DagangNews Skip to main content

TNB peruntuk capex lebih besar ke arah peralihan tenaga

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman (kiri) melihat Laporan Tahunan Bersepadu TNB yang bertemakan Energising a Sustainable Tomorrow semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 secara maya di Ibu Pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal teguh dalam usahanya meneruskan pelaburan terhadap peralihan tenaga bagi menyokong usaha kerajaan membina semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah-langkah yang dilakukan kerajaan serta pelancaran program vaksinasi telah memberi satu petanda optimis bahawa ekonomi negara akan kembali rancak berbanding tahun 2020, seterusnya meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik.

 

“TNB juga menyasarkan untuk mempertingkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan, dalam masa yang sama mempromosikan penggunaan tenaga mampan untuk mengimbangi kemampuan dan keselamatan sistem grid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 TNB yang diadakan secara maya. Turut hadir,
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, Ahli Lembaga Pengarah yang lain serta pengurusan tertinggi TNB.

 

Menurut Mahdzir, 2020 sebagai antara tahun paling mencabar sejak krisis ekonomi 2008, namun, TNB telah membuktikan kecekalannya yang bertunjangkan etos perkhidmatan dan khidmat kepada negara. 

 

"Dalam tempoh yang mencabar dan luar biasa ini, keutamaan kami bertumpu kepada memberikan khidmat kepada negara dan rakyat, di samping menjaga keselamatan dan kesejahteraan warga kerja kami," tambahnya.

 

Beliau berkata, sejajar dengan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), permintaan dan jualan elektrik di Semenanjung Malaysia turut menyusut tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, prestasi kumpulan kekal kukuh untuk memenuhi polisi pembayaran dividen antara 30% hingga 60% berdasarkan Pelarasan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI).

 

Selain pemberian dividen 22 sen sesaham, Lembaga Pengarah juga meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 40 sen sesaham. 

 

Ini menjadikan jumlah dividen sebanyak 80 sen sesaham, dengan jumlah bayaran RM4.56 bilion.

 

 

AGM TNB
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 secara dalam talian hari ini di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar.

 

 

Sementara itu, Baharin berkata, sebagai syarikat yang mengutamakan kepentingan pemegang taruh, amat
kritikal bagi TNB untuk kekal berdaya tahan dari segi kewangan dan teknikal berdasarkan percaturan strategi yang mantap.

 

“Tahun 2020 adalah titik pertengahan perjalanan strategik Reimagining TNB (2016-2025). Dengan pertumbuhan pesat peralihan tenaga global, kami mengkaji bagaimana TNB mampu memperkukuh kedudukannya dalam lapangan tenaga masa hadapan dan seterusnya mengatur semula strategi kami," jelas beliau.

 

TNB terus tampil dengan prestasi operasi bertaraf dunia pada 2020. Kumpulan berjaya mencapai Indeks Tempoh Purata Gangguan Sistem (SAIDI) 44.95 minit per pelanggan setahun, berbanding 48.13 minit pada 2019. 

 

Minit Sistem meningkat kepada 0.0806 minit, 70.2% lebih baik berbanding 0.2707 minit pada tahun 2019.

 

Dalam masa sama, TNB telah mengguna pakai teknologi baru RE seperti solar, angin, biojisim dan biogas yang
diterjemahkan kepada kapasiti penjanaan sebanyak 713.2MW. 

 

Pemasangan meter pintar di premis-premis di Semenanjung Malaysia telah mencapai 1.1 juta setakat Mac 2021, sejajar dengan penambahbaikan infrastruktur elektrik oleh TNB untuk membolehkan integrasi teknologi baru.

 

Usaha berterusan anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX Sdn. Bhd. pula menyaksikan 689 kontrak pemasangan panel solar yang menyumbang kepada penjanaan tenaga hijau sebanyak 85 MWp.

 

“Kami telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti penjanaan RE kepada 8,300MW menjelang 2025 yang didukung inisiatif di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

 

Setakat Mac 2021, TNB mencapai 3,402MW kapasiti RE, 2,736MW daripadanya di Malaysia manakala 666MW di peringkat antarabangsa.

 

Sebagai pelengkap kepada sasaran ini, pendapatan daripada RE dijangka mencatatkan pertumbuhan kepada 10% pada 2025 daripada 4% pada 2020. 

 

"Kami juga menjangkakan pendapatan daripada pelaburan dalam inisiatif berkait peralihan tenaga untuk berkembang daripada 4% kepada 9% pada 2025,” tambah Baharin.

 

Beliau menegaskan bahawa TNB kini melakukan pelaburan yang lebih besar bagi perbelanjaan modal (capex) kumpulan untuk penambahbaikan grid yang berperanan penting bagi menyokong inisiatif peralihan tenaga Malaysia.

 

“Di bawah inisiatif Grid Masa Hadapan, kami meningkatkan capex untuk menambah baik infrastruktur kami bagi menyokong peralihan tenaga di Malaysia.

 

“Perbelanjaan modal dikawal selia berkaitan peralihan tenaga dijangka meningkat daripada 12.3% kepada 19.3% menerusi inisiatif yang dicadangkan dalam RP3. 

 

"Pelaburan ini akan membolehkan integrasi RE yang lebih banyak ke dalam sistem,” jelas beliau.

 

TNB menutup Tahun Kewangan 2020 dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan sebanyak RM3.6 bilion berbanding RM4.45 bilion tahun sebelumnya. - DagangNews.com