TNB, Petronas, IHI berjaya jalankan ujian pertama pembakaran bersama ammonia dalam penjanaan tenaga berasaskan arang batu | DagangNews Skip to main content

TNB, Petronas, IHI berjaya jalankan ujian pertama pembakaran bersama ammonia dalam penjanaan tenaga berasaskan arang batu

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Dato’ Nor Azman Mufti (depan) dan Ketua Pegawai Operasi TNB Genco, Ir. Roslan Abd Rahman (kiri) berbincang eksperimen dan hasil ujian pembakaran bersama ammonia bersama Pengarah Urusan IHI Power System Malaysia Sdn Bhd (IPSM), Masato Tamura di TNB Research Sdn Bhd (TNBR) di Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan TNB Power Generation Sdn Bhd, bersama IHI Power System Malaysia Sdn Bhd dan Petronas  Hydrogen Sdn Bhd, berjaya menjalankan ujian pembakaran bersama ammonia sebagai sebahagian daripada inisiatif menyahkarbonkan sektor tenaga negara. 

 

Menurut TNB dalam kenyataan hari ini, ujian pembakaran bersama ammonia dan arang batu tersebut dijalankan di pusat kemudahan pelantar ujian TNBR di Kajang, Selangor baru-baru ini.

 

Katanya eksperimen pembakaran bersama ammonia tersebut menempa kejayaan apabila pelepasan karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2) yang direkodkan didapati berkurangan mengikut kadar pembakaran.

 

“Malahan, tiada kesan tindak balas ammonia pada laluan keluar relau ketika ujian dijalankan. Suhu pembakaran juga tidak menunjukkan perbezaan ketara,” katanya. 

 

TNB berkata hasil ujian dilihat memenuhi objektif eksperimen menuju nyahkarbon, seterusnya mengukuhkan peluang TNB untuk mewujudkan projek rintis stesen janakuasa rendah karbon sekiranya memperoleh persetujuan daripada pihak berkuasa. 

 

“Objektif utama ujian ini adalah bagi menentukan kesan pembakaran bersama ammonia sebagai bahan bakar bebas karbon terhadap arang batu dalam sistem penjanaan kuasa berasaskan arang batu.

 

“Eksperimen menggunakan tiga jenis arang batu yang biasa digunakan di stesen janakuasa arang batu Malaysia,” katanya.


 

TNB
Dato’ Nor Azman Mufti (depan) membaca hasil ujian pembakaran bersama ammonia yang ditunjukkan oleh Pengarah Urusan IHI Power System Malaysia Sdn Bhd (IPSM), Masato Tamura di TNB Research Sdn Bhd (TNBR) di Kajang, Selangor.

 


Menurut TNB, nisbah ammonia dinaikkan secara berperingkat daripada 0 peratus hingga 60 peratus bagi setiap jenis arang batu.

 

“Ujian pembakaran bersama ammonia dan arang batu ini adalah sebahagian daripada usaha TNB meneroka potensi penyahkarbonan seiring dengan Hala Tuju Kelestarian TNB dan menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Kaca (GHG) pada 2030,” katanya. - DagangNews.com