TNB, PLUS bekerjasama kurangkan pelepasan karbon di lebuh raya PLUS | DagangNews Skip to main content

TNB, PLUS bekerjasama kurangkan pelepasan karbon di lebuh raya PLUS

TNB dan PLUS akan memasang sistem pemantauan kecekapan tenaga & sistem solar fotovoltaik di R&R PLUS terpilih.

KUALA LUMPUR 14 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkolaborasi bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk membolehkan jajaran lebuh rayanya turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon seiring dengan komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal tahun 2050. 

 

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan pengurangan pelepasan karbon di lebuh raya PLUS melalui tiga inisiatif kelestarian iaitu membangunkan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik, pemasangan sistem pemantauan kecekapan tenaga dan pemasangan system solar fotovoltaik di bangunan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terpilih. 

 

Melalui kerjasama itu, rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik akan dipasang di R&R terpilih dan berpotensi tinggi di sepanjang jajaran lebuhraya PLUS, manakala sistem pemantauan kecekapan tenaga dan system solar fotovoltaik akan dipasang pada bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara) dengan jumlah kapasiti lebih 360 kWp (kilowatt peak). 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB akan menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak. TNB juga menawarkan penyelesaian kepada PLUS yang boleh mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon. 

 

Beliau menjelaskan ketiga-tiga inisiatif di bawah MoU tersebut akan mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong penggunaan tenaga hijau selain mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi perniagaan bagi meningkatkan lagi komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

 

“Selain sasaran pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050 dalam aspek penjanaan tenaga seperti aspirasi kami melalui Hala Tuju Kelestarian, usaha bersama  pelbagai organisasi seperti PLUS ini mengukuhkan lagi keyakinan pelabur mengenai komitmen kami terhadap ESG dan menyediakan potensi langkah-langkah strategik 
pengembangan bisnes melangkaui kWh,” katanya. 

 

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik ini melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 Mac 2022. 

 

Turut hadir adalah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin, Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ketua Pegawai Strategi & Usaha Niaga TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin dan Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman. 


 

TNB
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah); Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga kiri) dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (tiga kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Datuk Ir. Baharin Din (dua kiri) dan Datuk Azman Ismail (kanan) di Kuala Lumpur pada 11 Mac 2022. 

 


Melalui peranan TNB sebagai pemboleh, PLUS menjadi penggerak pertama untuk memulakan infrastruktur rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memperbanyakkan lagi rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik bagi memastikan perjalanan pelanggan yang menggunakan kenderaan elektrik lebih lancar, selamat dan selesa khususnya di sepanjang lebuh raya PLUS. 

 

“Inisiatif ini mengukuhkan komitmen PLUS dalam menerajui industri selaku pengendali lebuh raya yang peka terhadap kelestarian alam sekitar. Di samping memastikan tadbir urus yang baik dan komited terhadap keperluan masyarakat, pengurusan alam sekitar juga merupakan salah satu tunjang utama yang memacu perkembangan PLUS untuk menjadi Lebuh Raya Pintar Masa Hadapan (Smart Highway of the Future),” tambah beliau. 

 

Menurut Azman, ia adalah seiring dengan inisiatif-inisiatif hijau lain yang dilaksanakan PLUS termasuklah penggunaan teknologi hijau di premis-premisnya, menggunakan turapan yang dikitar semula untuk menurap jalan di kawasan R&R, serta menggunakan bahan yang lebih mesra alam dalam pengendalian operasi lebuhrayanya. 

 

“MoU ini juga merupakan satu daripada langkah kami untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dalam operasi seharian kami, di mana ia telah bermula dengan pensijilan ISO 14001:2015 Sistem Pengurusan Alam Sekitar pada tahun 2016, serta Pelan Hala Tuju Hijau yang diperkenalkan pada tahun 2018,” jelas Datuk Azman. 

 

Pada masa yang sama, PLUS juga menyambut baik kolaborasi bersama TNB ini dan menyifatkannya sebagai salah satu pendekatan syarikat ini dalam mendokong ESG. Ia bertepatan dengan hasrat dan matlamat PLUS iaitu menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang perjalanan mereka. 

 

Kemudahan rangkaian infrastruktur stesen pengecas kenderaan elektrik itu dijangka bukan hanya menarik minat pengguna baru kenderaan elektrik, bahkan pengusaha pengangkutan khususnya syarikat multinasional yang mahu beralih dari menggunakan kenderaan enjin pembakaran dalam (Internal Combustion Engine) kepada kenderaan berasaskan elektrik, dalam usaha menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sambil menjimatkan kos operasi. 

 

Sejak Jun 2021, TNB giat menjalinkan kerjasama untuk memacu penggunaan kenderaan elektrik yang lebih meluas di Malaysia. Selain PLUS, rakan strategiknya setakat ini termasuk DHL Express, Sime Darby Motors, BMW Group Malaysia, Malaysia Automotive, Robotics and IOT Institute (MARii), SOCAR Mobility Malaysia (Socar) dan Majlis Bandaraya Ipoh. - DagangNews.com