TNB pulihkan segera gangguan bekalan elektrik PPU Puncak Alam | DagangNews Skip to main content

TNB pulihkan segera gangguan bekalan elektrik PPU Puncak Alam

TNB

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 April -  Tenaga Nasional Berhad (TNB) segera menggerakkan pasukan teknikalnya bagi memulihkan bekalan elektrik yang terganggu akibat kebakaran pada sebahagian kabel di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Puncak Alam, Kuala Selangor pada pukul 4.24 pagi tadi.

 

Sehubungan itu, seramai 14,000 pengguna di kawasan terlibat mendapat semula bekalan elektrik seawal 6.29 pagi melalui suabalik sistem Grid.

 

"Antara kawasan yang terlibat adalah Taman Alam Suria, Bandar Puncak Alam, Taman Alam Sutera, Astana Alam 2, Bandar Hillpark, Kampung Bukit Hijau dan Pusat Komersil Eco Grandeur.

 

"Baki bekalan diberikan secara berperingkat menerusi set janakuasa bergerak dengan pengguna terakhir menerima bekalan pada jam 3:40 petang tadi," jelas TNB dalam satu kenyataan.

 

Dalam kenyataan yang sama, TNB memberitahu, punca kebakaran yang menyebabkan kehilangan beban sebanyak 12.15 megawatt (MW) itu masih disiasat.

 

"Kepada pelanggan yang terlibat, TNB memohon maaf atas kesulitan yang timbul. 

 

"Untuk maklumat lanjut, para pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine," ujar TNB lagi. - DagangNews.com