TNB salur bantuan kewangan RM4 juta untuk mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

TNB salur bantuan kewangan RM4 juta untuk mangsa banjir

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan RM4 juta bantuan banjir dengan masing-masing RM2 juta disalurkan kepada Yayasan Keluarga Malaysia dan bantuan secara langsung melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).

 

Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin berkata, TWTP yang ditubuhkan pada Jun lalu untuk warga kerja TNB menyumbang bagi meringankan beban mereka yang terkesan susulan pandemik COVID-19, meneruskan kutipan bagi membantu mangsa banjir pula.

 

Katanya, RM2 juta itu adalah geran padanan maksimum kepada jumlah kutipan TWTP yang disumbangkan oleh warga kerja syarikat utiliti itu dan Lembaga Pengarah TNB sudah pun meluluskan RM500,000 sebagai pendahuluannya.

 

“Peruntukan RM4 juta ini adalah tambahan kepada kira-kira RM40 juta peruntukan kecemasan disediakan oleh TNB bagi kerja-kerja pemulihan khususnya membaik pulih aset dan infrastruktur bekalan elektrik di lapan negeri yang dilanda banjir,” katanya di sini hari ini.

 

Menurut Hasan, ini adalah kali kedua TNB menyediakan geran padanan bagi Tabung Warga TNB Prihatin dengan kali pertama sebanyak RM1.64 juta, sekali gus menjadikan lebih RM3.4 juta terkumpul pada bulan lalu dan diagihkan kepada lebih 6,000 penerima di seluruh Semenanjung

 

TNB

 


Bagi bantuan COVID-19 itu, lebih 14,700 warga kerja TNB telah membuat sumbangan melalui potongan gaji dan kali ini, kaedahnya ditambah dengan cara sumbang terus ke akaun tabung. Tabung ini mendapat sokongan menyeluruh semua pihak termasuk kesatuan/persatuan dan kelab dalaman TNB, sekali gus mencerminkan nilai muafakat dan keprihatinan keluarga besar syarikat utiliti itu.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan turut memaklumkan bahawa sehingga pagi ini, lebih 78% iaitu 1,665 daripada 2,109 aset bekalan elektrik TNB yang terjejas dan dihenti tugas sejak banjir melanda Sabtu lalu, telah dapat dipulihkan termasuk seratus peratus pemulihan di Kelantan, Terengganu, Melaka dan Perak.
 

 

Dato’ Sri Hasan Arifin
                            Dato’ Sri Hasan Arifin

 


Menurut beliau, pasukan teknikal TNB akan bergegas masuk ke kawasan banjir sebaik keadaan mengizinkan bagi memulakan kerja-kerja pemulihan dengan tidak berkompromi terhadap faktor-faktor keselamatan awam.

 

Justeru, beliau meminta orang ramai khususnya mangsa banjir agar bersabar dan bersama-sama memastikan kediaman masing-masing benar-benar selamat sebelum bekalan elektrik disalurkan semula, sekali gus terhindar daripada sebarang risiko berlaku renjatan. - DagangNews.com