TNB sasar kutipan RM12 bilion menerusi dua program sukuk | DagangNews Skip to main content

TNB sasar kutipan RM12 bilion menerusi dua program sukuk

TNB

KUALA LUMPUR 1 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu menjana RM12 bilion menerusi penerbitan dua program sukuk yang bertujuan mengembangkan modal, pelaburan, urusan umum korporat serta keperluan modal kerja. 

TNB dalam kenyataannya di Bursa Malaysia berkata, dua program sukuk berkenaan adalah Nota Islam Berjangka Pertengahan (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP) yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM2 bilion. 

Tempoh diperuntukkan bagi IMTN adalah selama 50 tahun manakala ICP selama tujuh tahun. 

“TNB telah mengemukakan program Sukuk Wakalah kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Program ini akan membantu TNB dan anak-anak syarikat dengan masa yang fleksibel untuk mengumpul dana dengan nilai nominal berbeza dan tempoh untuk padanan aset-liabiliti yang optimum.

“TNB juga akan mempunyai akses kepada himpunan pelabur yang pelbagai di dalam pasaran modal tempatan,’’ kata syarikat itu. 

Menurut TNB, hasil dana itu akan diguna bagi membiayai semula mana-mana kemudahan kewangan TNB atau anak syarikat yang sedia ada di samping menampung kos yuran mahupun perbelanjaan bagi kedua-dua program bon Islam berkenaan. 

Tambahnya, program IMTN dan ICP masing-masingnya, juga telah diberi penilaian akhir AAA dan P1, oleh RAM Rating Services Bhd.

Sementara itu, memetik sumber yang dilaporkan Bloomberg pada tahun lalu, TNB merancang untuk menubuhkan program bon Islam bernilai RM10 bilion sebagai persediaan menghadapi pembaharuan sektor elektrik. 

“TNB yang merupakan penjana kuasa elektrik utama di Semenanjung Malaysia dan Sabah bersedia dengan langkah kerajaan untuk menawarkan harga lebih rendah kepada pengguna menerusi pembukaan sektor elektrik runcit,” jelas laporan Bloomberg. 

Berdasarkan Bursa Malaysia, harga saham TNB merekodkan enam sen atau 0.52% lebih tinggi iaitu pada RM11.62 ketika ini dengan pasaran modal sebanyak RM66.29 bilion. - DagangNews.com