TNB selesai ambil alih 100% kepentingan ladang angin di UK bernilai RM808 juta | DagangNews Skip to main content

TNB selesai ambil alih 100% kepentingan ladang angin di UK bernilai RM808 juta

Gambar sekadar hiasan.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 April - Vantage RE Ltd (Vantage RE), syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah menyelesaikan pengambilalihan 100% kepentingan dalam ladang angin pesisir pantai di United Kingdom (UK) berkapasiti 97.3 megawatt (MW).

 

Pembelian itu dibuat daripada sejumlah dana yang dinasihati oleh Capital Dynamics,  firma pengurusan aset global bebas yang juga antara peneraju pelabur tenaga bersih dunia,  dengan pertimbangan berjumlah 145.9 juta pound (RM808.02 juta).

 

Pengambilalihan itu berikutan langkah sulung kumpulan memasuki pasaran angin luar pesisir di UK pada Oktober lalu, menandakan satu lagi pencapaian penting strategi TNB untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) globalnya, sambil mengukuhkan kewujudannya dalam pasaran tumpuan.

 

 

Ir. Baharin Din
Ir. Baharin Din

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, ia juga menandakan kejayaan berterusan kumpulan untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam pasaran tumpuan seperti UK dan Eropah di samping mempercepatkan perjalanan TNB untuk memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Katanya, pengambilalihan aset strategik operasi tambahan yang disokong oleh skim subsidi itu juga akan membolehkan TNB mendapat manfaat sepenuhnya daripada hasil yang stabil dan membina daya tahan kewangan untuk mengharungi cabaran ekonomi yang diburukkan oleh COVID-19.

 

"Di samping itu, ia akan menggerakkan TNB selangkah lebih dekat untuk beralih ke arah masa depan tenaga baharu penjanaan rendah karbon selaras Hala Tuju Kelestarian TNB dan visi ESG.

 

"Hala Tuju Kelestarian TNB disokong oleh komitmen kami untuk mengurangkan 35% intensiti pelepasan dan 50% daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Portfolio angin itu terdiri daripada 11 tapak operasi ladang angin pesisir pantai di UK yang dibangunkan sama ada di bawah Feed-in Tariff atau skim subsidi Sijil Kewajipan Boleh Diperbaharui yang dijangka memberi pendapatan stabil dalam tempoh jangka panjang.

 

Selepas pengambilalihan itu selesai kapasiti operasi RE Vantage RE akan berkembang sebanyak 23% daripada 433MW kepada 530MW.

 

Penambahan ladang angin pesisir pantai ini akan mempelbagaikan campuran teknologi RE sedia ada Vantage RE dan meningkatkan keseimbangan profil penjanaan elektrik portfolionya sepanjang tahun.

 

Vantage RE dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset RE TNB di Eropah. - DagangNews.com