TNB sertai pasaran ladang angin luar pesisir UK menerusi Vantage RE dan EDF Renewables | DagangNews Skip to main content

TNB sertai pasaran ladang angin luar pesisir UK menerusi Vantage RE dan EDF Renewables

 

KUALA LUMPUR 20 Okt - Syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Vantage RE Ltd. (Vantage RE) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) untuk memperoleh 49% pegangan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), sebuah subsidiari syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF).

 

Vantage RE dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset RE TNB di Eropah.

 

Pemerolehan ini menandakan penyertaan sulung TNB dalam pasaran ladang angin luar pesisir berikutan pemilikan aset angin BODL di perairan Blyth, Northumberland, England.

 

Aset itu merangkumi lima turbin angin dengan kapasiti penjanaan sebanyak 41.5MW (Blyth 1) dan hak pembangunan lanjut projek turbin angin terapung (Blyth 2) sehingga 58.4MW yang terletak berhampiran pantai Northumberland.

 

Setiap satu daripada lima turbin 8.3MW Blyth 1 didirikan di atas struktur asas yang berasaskan graviti, yang menggunakan beban konkrit bagi menetapkan kedudukan turbin tanpa menebusi dasar laut.

 

Ladang angin itu telah beroperasi sejak 2017 di bawah rejim subsidi Renewable Obligation Certificates (ROC) yang dijangka dapat memberi pulangan yang stabil.

 

Dalam pada itu, Blyth 2 adalah projek turbin angin luar pesisir terapung inovatif yang kini berada dalam peringkat awal pembangunan. 
 

 

TNB

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemerolehan ini adalah satu daripada perancangan pemerolehan strategik oleh TNB untuk memesatkan usaha mencapai visi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

“Baru-baru ini kami telah mengumumkan Hala Tuju Kelestarian kami, satu rangka tindakan dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

''Hala tuju ini dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan TNB sebanyak 35% serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 

 

Datuk Ir. Baharin Din
Datuk Ir. Baharin Din

 

 

Mengakui kepakaran dan pengetahuan menyeluruh yang dimiliki EDFR dalam membangunkan dan mengendalikan projek tenaga berskala besar, Baharin berkata, “TNB seperti juga EDFR berkongsi aspirasi untuk terus memacu pembangunan lestari bagi pihak berkepentingan dengan menyalurkan bekalan tenaga yang berdaya harap dan mampu milik, melakukan inovasi dan peralihan tenaga serta menyediakan generasi masa depan dengan keupayaan untuk hidup dalam suasana ekonomi, alam sekitar dan sosial yang sebaik mungkin.”

 

Jelas Baharin, TNB menyasarkan untuk menambah kapasiti penjanaan RE kepada 8,300MW menjelang 2025.

 

“Kami yakin kerjasama ini memberi kelebihan kepada kami dalam industri yang semakin kompetetif berikutan usaha kami untuk meningkatkan portfolio penjanaan RE global dan mengukuhkan kedudukan kami dalam landskap tenaga masa hadapan,” ujarnya.

 

Baharin menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama ini membolehkan Kumpulan untuk memanfaatkan pengalaman luas EDFR dalam sektor ladang angin luar pesisir di seluruh fokus pasaran TNB, terutamanya di UK, Eropah dan Asia Tenggara.

 

“Ia bukan sahaja menetapkan rentak pertumbuhan Vantage RE di UK dan Eropah, malah memberi laluan yang kukuh buat TNB untuk mempercepatkan cita-citanya bagi menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan,” katanya.

 

Pembabitan dalam sektor ladang angin luar pesisir UK membolehkan TNB untuk memanfaatkan pengalaman sedia ada pengurusan Vantage RE, memperluaskan keupayaan teknologi dan memperkasakan serta membangunkan bakat-bakat yang ada dalam Kumpulan.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Kanan Kumpulan EDF (Tenaga Boleh Baharu), merangkap Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif EDF Renewables, Bruno Bensasson berkata, sebagai peneraju antarabangsa tenaga rendah karbon, Kumpulan EDF komited untuk menyumbang kepada evolusi teknologi dan persaingan dalam sektor ini.

 

''Kami berasa bertuah untuk menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad bagi Blyth, satu projek contoh bagi solusi tenaga angin luar pesisir yang khusus.

 

 

Bruno Bensasson
Bruno Bensasson

 

 

''TNB dan EDF berkongsi matlamat yang sama untuk menyumbang ke arah masyarakat rendah karbon. Justeru, melalui kerjasama ini, kami membayangkan kerjasama lanjut untuk penjanaan elektrik rendah karbon di benua Eropah seperti yang dipamerkan menerusi Blyth, dan di Asia,” kata beliau.

 

TNB telah melabur dalam pasaran solar dan angin di UK sejak 2017 dan dengan penambahan terbaharu ini, TNB akan mengendalikan hampir 450 megawatt (MW) pelaburan RE (ladang angin dan solar) di UK. - DagangNews.com