Skip to main content

TNB sinari kehidupan hampir 10,000 asnaf

Juruteknik Bahagian Senggaraan Elektrik TNB, Mohd Jamil Ramlan (kiri) menyerahkan sumbangan Ihya' Ramadhan 1442H kepada 30 buah keluarga di Rumah Pangsa Taman Hijau, Sitiawan, Perak pada 27 April lalu.

Juruteknik Bahagian Senggaraan Elektrik TNB, Mohd Jamil Ramlan (kiri) menyerahkan sumbangan Ihya' Ramadhan 1442H kepada 30 buah keluarga di Rumah Pangsa Taman Hijau, Sitiawan, Perak pada 27 April lalu.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengedarkan barangan keperluan asas dan wang saku kepada 9,918 orang asnaf sejak 27 April lalu.

 

Bantuan yang diberikan itu adalah untuk membantu golongan yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Sumbangan barangan yang disampaikan adalah seperti  beras, gula, telur, biskut, serbuk teh, tepung, kurma, barangan dapur dan lain-lain.

 

.
Juruteknik Bahagian Senggaraan Elektrik TNB, Mohd Kairi Mohd Yusoff (kanan) menyerahkan sumbangan Ihya' Ramadhan 1442H kepada 30 buah keluarga di Rumah Pangsa Taman Hijau, Sitiawan, Perak pada 27 April lalu.

 

Kesemua barangan tersebut diedarkan menerusi pelbagai program anjuran TNB bagi meringankan beban penerima sepanjang Ramadhan dan Syawal, selain menceriakan sambutan bulan mulia.

 

Chief Global Business Solutions Officer TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, pihaknya memperuntukkan sejumlah RM420,000 untuk program-program penyerahan bantuan keperluan asas tersebut bagi memenuhi komitmennya sebagai warga korporat yang prihatin.

 

Mohamad Ariff Zainol
Mohamad Ariff Zainol.

 

“Sumbangan kecil kami ini diharap dapat meringankan beban keluarga penerima bantuan dan pada masa yang sama mengeratkan silaturahim kami dengan masyarakat yang memerlukan.

 

“Berikutan pelaksanaan PKP 3.0, sebahagian bantuan diserah secara terus dengan warga kerja kami menyantuni penerima bantuan dengan menyerahkan barangan dari rumah ke rumah, termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

 

"Pendekatan ini juga, Insya Allah dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat,” katanya.

 

Selain berkongsi rezeki bersama golongan yang terkesan akibat kekangan PKP 3.0 ketika ini, TNB juga menyokong usaha pelaksanaan program vaksinasi negara.

 

Sokongan dibuat dengan memastikan hampir semua warga kerjanya mendaftar untuk vaksinasi serta memastikan bekalan elektrik ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) dan Pusat Simpanan Vaksin berada dalam keadaan baik dan teratur. - DagangNews.com