TNB sokong ICPT dilanjut untuk tempoh 6 bulan | DagangNews Skip to main content

TNB sokong ICPT dilanjut untuk tempoh 6 bulan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah

KUALA LUMPUR 1 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong keputusan kerajaan untuk melaraskan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Pelaksanaan itu bertujuan memastikan pengguna mendapat manfaat daripada harga elektrik yang telus dan adil.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ICPT yang digunapakai dalam industri elektrik sejak 2014 kekal relevan dalam persekitaran bahan api yang tidak menentu.

“Sebagai sebuah syarikat utiliti, TNB dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan beroperasi dalam persekitaran yang terkawal termasuk ICPT.

"Seperti yang ditetapkan ST menerusi pelaksanaan ICPT, TNB akan memaparkan perubahan pada kos bahan api dan lain-lain kos penjanaan dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan,” jelas beliau dalam sebuah kenyataan hari ini. 

ST hari ini mengumumkan pelanjutan ICPT untuk tempoh enam bulan yang berakhir 31 Disember 2020 dengan pengurangan kadar surcaj dua sen/kWh kepada 0.00 sen/kWh. 

ST yang bertindak sebagai badan kawal selia industri tenaga negara bertanggungjawab menentukan pengiraan dan kaedah ICPT untuk tempoh setiap enam bulan, bergantung kepada kelulusan kerajaan. 

Mengulas mengenai pengurangan kadar ICPT, Amir Hamzah melihat perubahan itu mencerminkan penurunan sebenar harga bahan api global untuk tempoh enam bulan yang lalu. 

Perubahan yang berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun 2020 melibatkan:

  • Kos bahan api menurun seiring kejatuhan harga bahan api sebenar di bawah penanda aras harga bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) bermula 2018 hingga 2020. 
  • Purata Applicable Coal Price (ACP) berada pada AS$ 69.5/MT, berbanding harga penanda aras arang batu yang ditetapkan dalam tarif asas pada AS$75/MT.
  • Harga gas-1 ialah RM26.6/mmBTU iaitu lebih rendah berbanding harga penanda aras gas yang ditetapkan dalam tarif asas pada RM27.20/mmBTU.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, perubahan harga bahan api tidak dipaparkan serta-merta dalam tarif kepada pengguna kerana terdapat perbezaan masa kira-kira sembilan bulan antara pergerakan harga bahan api dan tempoh sebenar pergerakan yang memberi kesan kepada sektor tenaga.

“Ini bermakna ketika harga bahan api rendah, pengguna hanya mendapat manfaat daripada pelepasan kos bahan api dengan pemberian tarif yang lebih rendah bermula 12 bulan kemudiannya. Sekiranya harga bahan api naik, ia akan hanya memberi kesan kepada pengguna kemudian, lantas memberi peluang untuk sistem melakukan penyesuaian,” jelas beliau.  - DagangNews.com