TNB sokong kempen 100 juta pokok peringkat negeri Perak | DagangNews Skip to main content

TNB sokong kempen 100 juta pokok peringkat negeri Perak

Dr. Shamsul Anuar Nasarah (barisan hadapan, kiri) menyiram satu daripada pokok yang ditanam pada program Penghijauan Malaysia di Tasik Raban Lenggong Sempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, pada 10 April lalu. Turut hadir, Ir. Baharin Din (barisan hadapan, kanan).

 

IPOH 17 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmennya terhadap alam sekitar dengan program terbaru menanam 130 pokok hutan di Tasik Raban di daerah Lenggong, Perak pada 10 April lalu.

 

Kolaborasi bersama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak ini adalah bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam memulihara alam sekitar.

 

“Penglibatan dan sumbangan yang dilakukan oleh TNB sebagai satu daripada Tanggungjawab Korporatnya harus dicontohi pelbagai syarikat korporat yang lain,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

 

Berucap di program Penghijauan Malaysia di Tasik Raban Lenggong Sempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, beliau menyifatkan penyertaan TNB dalam kempen itu sebagai manifestasi keprihatinan TNB terhadap alam sekitar di samping menyambut seruan kerajaan untuk bersama menjayakan objektif kempen.

 

“Kempen 100 Juta Pokok ini untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan kepelbagaian biologi negara kita.”

 

Hadir sama semasa program tersebut, Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang; Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

 

Sebanyak 21 spesies pokok tempatan yang sinonim dengan nama tempat dalam Negeri Perak telah ditanam pada majlis tersebut bagi menjayakan agenda nasional Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025. TNB menyumbang RM50,000 bagi inisiatif penanaman pokok-pokok tersebut.

 

Keprihatinan TNB dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar adalah bagi memastikan kelestarian alam sekitar buat generasi masa hadapan selain bagi menjamin ekosistem demi manfaat kehidupan orang ramai.

 

Selain daerah Lenggong, TNB juga telah terlibat secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar menerusi penanaman 18,800 pokok bakau di dearah Manjung sejak 2013.

 

Jumlah ini adalah sebahagian daripada 23,700 anak benih bakau yang ditanam TNB di negeri-negeri lain di Semenanjung.

 

Ini termasuk negeri Perak, Perlis dan Pulau Pinang serta empat lokasi habitat kelip-kelip termasuk Kampung Kuantan di Kuala Selangor, Selangor; Kampung Dew di Taiping, Perak; Kampung Sungai Timun di Rembau, Negeri Sembilan dan Kampung Yak Yah di Kemaman, Terengganu.

 

Kini, TNB sedang giat menjalankan inisiatif yang sama dengan tambahan 7,000 anak benih di daerah Manjung dan 1,000 di Jimah Power Plant yang bakal siap ditanam menjelang 2022. - DagangNews.com