Skip to main content

TNB tambah baik 2 caj sambungan untuk manfaat pelanggan

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini menikmati manfaat kos permohonan bekalan elektrik yang lebih rendah berikutan penambahbaikan terhadap terma dan syarat Caj Sambungan Pengguna (CSP) dan Caj Sambungan Beban (CSB) yang diluluskan Kerajaan bermula 15 Januari 2021.

 

Semua pelanggan yang memohon bekalan elektrik adalah tertakluk kepada bayaran Caj Sambungan Pengguna (CSP) atau 'Connection Charge' sebagai satu komitmen bagi penyediaan infrastruktur bekalan elektrik yang diperlukan.

 

Manakala Caj Sambungan Beban (CSB) atau 'Connected Load Charge' (CLC) terpakai kepada pelanggan Kuasa Besar atau “Large Power Consumer (LPC)” yang mendapat bekalan melalui Voltan Sederhana (6.6 kV ≤ V < 132kV) dan Voltan Tinggi (≥ 132kV), bagi mengelakkan Kehendak Maksimum (KM) atau “Maximum Demand” (MD) diisytihar secara berlebihan oleh pengguna semasa permohonan berbanding beban sebenar yang diperlukan.

 

Pengisytiharan KM yang berlebihan akan menyebabkan pembaziran kapasiti penjanaan serta peningkatan kos penjanaan dan penghantaran yang perlu ditanggung oleh pengguna lain.

 

Bagi pengguna kediaman, pelanggan yang memohon bekalan elektrik baharu secara individu hanya dicajkan berdasarkan beban yang dipohon sahaja. 

 

Tiada caj tambahan dikenakan bagi penyambungan bekalan sehingga 200 tiang pertama atau enam kilometer, bersamaan dengan penjimatan sehingga RM39,400.

 

Bagi penyambungan melebihi 200 tiang atau enam kilometer pula, pelanggan perlu membayar caj berdasarkan beban yang dipohon dan kos kabel yang diperlukan untuk jarak yang melebihi enam kilometer sahaja, mengikut harga yang ditetapkan.

 

Selain itu, bagi permohonan bekalan elektrik yang memerlukan pembinaan pencawang, caj 50% bagi kos pembinaan pencawang baharu yang dikenakan sebelum ini telahpun dimansuhkan.

 

Bagi sebarang keperluan atau caj yang dikenakan oleh pihak ketiga seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Kerajaan dan lain-lain (sekiranya ada) kepada TNB dan/atau permintaan atau keperluan khas pengguna yang melibatkan skop kerja dan pepasangan tambahan di luar spesifikasi biasa TNB, caj ini adalah dikekalkan.

 

Maklumat lanjut mengenai CSP boleh didapati di pautan https://www.mytnb.com.my/residential/get-electricity/connection-charge.

 

Selain itu, terma dan syarat baharu CSB membolehkan Kehendak Maksimum diisytiharkan secara berperingkat bagi tujuan pengiraan penalti CSB, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Pengguna boleh mengisytiharkan semula Kehendak Maksimum berdasarkan keperluan bisnes semasa dan seterusnya berpeluang menikmati penjimatan kos daripada penalti tersebut.

 

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari https://www.mytnb.com.my/business/understand-yourbill/billing-component#clc. - DagangNews.com