TNB tawar insentif khas kepada pengguna komersial sempena hari kebangsaan | DagangNews Skip to main content

TNB tawar insentif khas kepada pengguna komersial sempena hari kebangsaan

TNB

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan Insentif Sinaran Merdeka bagi menggalakkan pengguna komersial menerangi bangunan dan kawasan persekitaran mereka dengan lampu hiasan.

 

TNB berkata, insentif yang diberikan sejak tahun 2000 itu ditawarkan kepada semua pengguna di bawah tarif perdagangan (tariff B, C1 dan C2) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun (sebelum 1 Ogos 2020), untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2021.

 

Menurut TNB lagi, ia melibatkan pengguna komersial seperti bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel dan stesen minyak.

 

"Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (mengikut kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2021.

 

"Manfaat insentif khas ini akan dimasukkan ke dalam bil bulan Oktober 2021 yang akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’," jelas TNB dalam satu kenyataan.

 

Promosi tersebut bermula pada 1 Ogos sehingga 15 September 2021. 

 

Pelanggan boleh memohon secara online melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran. - DagangNews.com