TNB teliti teknologi baharu dalam sektor tenaga untuk urus RE secara digital | DagangNews Skip to main content

TNB teliti teknologi baharu dalam sektor tenaga untuk urus RE secara digital

TNB merancang tingkatkan kapasiti RE kepada 8.3 GW menjelang 2025
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang meneliti teknologi baharu dalam sektor tenaga, termasuk storan tenaga, serta loji janakuasa maya yang menguruskan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) atas bumbung secara digital yang tersebar di beberapa lokasi.

 

Pengarah Projek (Hala Tuju Kelestarian), Bahagian Strategi & Usaha Niaga TNB, Dr Noor Miza Razali berkata, di pasaran Malaysia, kumpulan TNB mempunyai kapasiti solar 100MW yang dimilikinya di atas bumbung pelanggan yang membeli RE melalui perjanjian jangka panjang. Ini tidak termasuk aset suria atas bumbung yang dimiliki oleh pemilik bangunan itu sendiri.

 

Menurutnya, TNB pada penghujung 2021 membentuk bahagian tenaga baharunya untuk mengembangkan lagi portfolio TBB dan menubuhkan perkongsian strategik dengan pemain RE terkemuka untuk memanfaatkan kepakaran teknikal mereka.

 

"TNB memperkemas pengembangan RE merentasi dua entiti, iaitu Vantage Renewable Energy memfokuskan pada UK dan Eropah, serta TNB Renewables Sdn Bhd memfokuskan kepada Malaysia dan pasaran ASEAN, iaitu Vietnam, Thailand dan Filipina,'' kata beliau.

 

Dr Noor Miza berkata, terdapat potensi untuk Malaysia mencapai atau melebihi sasaran RE jangka panjangnya dibantu oleh dorongan lebih kuat untuk peralihan tenaga daripada pengguna.

 

TNB ujar beliau, mempunyai rancangannya untuk meningkatkan kapasiti RE global kumpulan kepada 8.3 gigawatt (GW) menjelang 2025 daripada 3.4GW pada akhir 2021, dan penjanaan RE Malaysia sebanyak 18GW menjelang 2035 daripada 8.45GW pada masa ini.

 

Menurut beliau, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dorongan untuk peralihan tenaga telah menjadi lebih kuat.

 

"Apabila kita melihat rancangan yang akan datang untuk negara dan TNB, ia akan menjadi menarik untuk mungkin melihat beberapa rancangan itu bergerak ke hadapan dengan lebih pantas,” kata beliau.
 

Dr Noor Miza Razali
                            Dr Noor Miza Razali

 

 

Mengulas mengenai daya maju eksport RE dari Malaysia, Dr Noor Miza berkata bahawa sebarang sambungan adalah baik untuk sistem tenaga.

 

Ini kerana ada pihak berpendapat bahawa kapasiti RE yang belum diteroka Malaysia adalah jauh melebihi permintaan domestik, dan membina kapasiti eksport RE menyediakan satu lagi bidang pertumbuhan untuk ekonomi hijau Malaysia.

 

“Kita mempunyai perjanjian untuk mengimport dan mengeksport elektrik kepada jiran kita dalam rangka kerja ASEAN, termasuk hidro dari Laos, dan eksport ke Singapura.

 

“Sarawak mempunyai hubungan dengan Indonesia, dan Sabah sangat dekat dengan Filipina. Grid kuasa ASEAN akan menjadi sangat penting dari segi kemampanan dan kecukupan tenaga,” katanya.

 

Beliau berkata, sama ada membina kapasiti RE tambahan dan mengeksport sekarang adalah perkara yang betul untuk dilakukan bergantung kepada objektif kerajaan. - DagangNews.com