Skip to main content

TNB terima surat notis bangunkan projek jana kuasa hidro di Kelantan

Kerja-kerja pembinaan bagi projek ini dianggarkan berjalan selama 5 tahun. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Power
Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) menerima surat notis dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi membangunkan loji jana kuasa hidroelektrik di Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

 

Projek itu yang berkapasiti 300 MW akan meningkatkan jaminan tenaga kepada negara dan memberi impak positif dari segi sosioekonomi kepada Malaysia, Kelantan dan juga penduduk setempat. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata, surat notis itu memerlukan TNB Genco memenuhi beberapa syarat sebelum memulakan projek berkenaan. 

 

Katanya, seperti ditetapkan oleh kerajaan, TNB Genco telah menggabungkan sebuah syarikat projek milik penuhnya iaitu TNBPG Hydro Nenggiri Sdn. Bhd. (THNSB) untuk melaksanakan projek ini. 

 

"Kerja-kerja pembinaan bagi projek ini dianggarkan berjalan selama 5 tahun dan dijangka memulakan Tarikh Operasi Komersial Dijadualkan (SCOD) pada 1 Jun 2027," katanya. 

 

Jelasnya lagi, THNSB akan menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 30 tahun dengan pengambil alih yang merupakan TNB.

 

Secara dasarnya, ia merupakan projek hidroelektrik nasional yang strategik dalam memenuhi misi TNB bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharui (RE) dengan kapasiti daripada 31% pada 2025 kepada 40% menjelang 2035 di bawah pelan jana kuasa tenaga.  

 

Malah, projek ini akan meningkatkan penguasaan pasaran penjanaan tenaga TNB terutama menerusi hidro dan meningkatkan keseluruhan kecekapan portfolio aset penjanaan tenaga temasuk RE. 

 

Projek itu dianggarkan bernilai hampir RM5 bilion yang akan dibiayai menerusi hutang dan ekuiti.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka memberi kesan ketara ke atas kedudukan gearan TNB," jelasnya.
 

 

Menurut TNB, apabila SCOD projek itu bermula, ia dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan. 

 

Oleh itu, katanya, TNB Genco dengan kepakaran teknikal dan kemampuan dari segi kedudukan kewangan akan memastikan projek ini dapat disiapkan. 

 

"Projek ini dilihat memberi manfaat tambahan kepada penduduk di Kelantan terutama dalam menangani masalah banjir, bekalan air bersih dan bekalan air mentah untuk pengairan," katanya. - DagangNews.com