TNB teroka pasaran tenaga boleh diperbaharui Singapura | DagangNews Skip to main content

TNB teroka pasaran tenaga boleh diperbaharui Singapura

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milikan penuhnya,  TNB Renewables Sdn. Bhd. memeterai binding term sheet bersama Sunseap Group yang berpusat di Singapura.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama tersebut membolehkan TNB meneroka pasaran tenaga boleh diperbaharui dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Korporat di Singapura.

 

“Ini adalah usaha pertama TNB meneroka pasaran tenaga boleh baharu di Singapura dan kumpulan ini akan berada pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan segmen PPA Korporat yang sedang berkembang pesat.

 

“Kerjasama ini juga adalah tepat pada masanya, sejajar dengan jangkaan pelancaran tender oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) bagi percubaan penyaluran bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka akan dilancarkan menjelang Mac 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Datuk Ir. Baharin Din
Datuk Ir. Baharin Din

 

Kerjasama tersebut adalah pencapaian penting bagi TNB dalam usaha meluaskan jejak mereka dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di peringkat antarabangsa, termasuk di Asia Tenggara.

 

Hingga kini, portfolio keseluruhan tenaga boleh baharu TNB adalah 2,732.3 megawatt (MW) di Malaysia (termasuk 2,536.1MW daripada hidro besar) dan 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.

 

Tambah beliau,  kerjasama itu antara lain akan menyasarkan pelanggan strategik seperti syarikat RE100, syarikat multinasional, dan data. 

 

Inisiatif itu dijangka akan memacu pertumbuhan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini untuk tahun-tahun akan datang.

 

TNB juga ingin meluaskan portfolio keseluruhan tenaga boleh diperbaharuinya kepada 8,300MW menjelang 2025 (termasuk hidro besar) selari dengan strategi Reimagining TNB untuk memacu perkembangan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui di bawah teras strategik Sumber Penjanaan Masa Depan.

 

"Berikutan kejayaan pelaburan kami dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui di UK menerusi Vortex Solar dan Tenaga Wind Ventures, kerjasama bersama Sunseap adalah langkah penting bagi meneruskan strategi peluasan penjanaan tenaga boleh diperbaharui di peringkat antarabangsa.

 

"Kerjasama ini menyediakan platform yang kukuh dengan keupayaan, kapasiti serta jaringan di rantau ini bagi memacu perkembangan perniagaan tenaga boleh diperbaharui dan utiliti kami di Asia Tenggara," tambah beliau lagi.

 

Sunseap adalah satu daripada syarikat bumbung solar terkemuka di Asia Tenggara dan syarikat solar terbesar di Singapura dengan perniagaan solar bersepadu sepenuhnya termasuk penglibatan dalam segmen peruncitan tenaga.

 

Syarikat berkenaan mempunyai kapasiti bersih 1.2 gigawatt (GW) di 11 pasaran dan lebih daripada 200 aset dalam pelbagai peringkat pembangunan di samping mempunyai rekod memeterai PPA Korporat jangka panjang dengan pelanggan terkemuka seperti Microsoft dan Facebook. - DagangNews.com