TNB tingkat portfolio RE menerusi pengambilalihan 49% kepentingan BODL | DagangNews Skip to main content

TNB tingkat portfolio RE menerusi pengambilalihan 49% kepentingan BODL

Sebuah kapal jack-up melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada satu daripada daripada lima turbin angin luar pesisir Blyth 1 yang terletak di Blyth, Northumberland.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikatnya Vantage RE Ltd. (Vantage RE) meningkatkan portfolio tenaga boleh baharunya (RE) dan sasaran sifar bersih menerusi pengambilalihan 49% kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat kepada sebuah  syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF).

 

Pengambilalihan yang dimeterai pada 18 Oktober 2021 itu menandakan kemasukan sulung syarikat itu ke pasaran angin luar pesisir antarabangsa dan ketika ini BODL memiliki aset angin luar pesisir di luar pantai Blyth, Northumberland, England. 

 

Aset tersebut termasuk lima turbin dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 41.5 megawatt (MW) (Blyth 1) dan hak pembangunan projek angin luar pesisir terapung sehingga 58.4 MW (Blyth 2) yang terletak di luar pantai Northumberland. 

 

"Lima turbin 8.3MW Blyth 1 dipasang dengan teras berasaskan graviti yang menggunakan beban konkrit untuk memastikan turbin berada di tempatnya dengan selamat tanpa menembusi dasar laut. 

 

"Ladang angin itu telah beroperasi sejak 2017 di bawah skim subsidi Renewable Obligation Certificate (ROC) yang dijangka memberikan pulangan stabil manakala Blyth 2 pula merupakan projek angin luar pesisir terapung inovatif yang kini dalam peringkat awal pembangunan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

TNB berkata, pengambilalihan itu merupakan satu daripada pemerolehan strategik terancang untuk TNB mempercepat perjalanan melaksanakan visi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) globalnya. 

 

tnb
Ladang angin luar pesisir Blyth.

 

Katanya, TNB telah mengumumkan hala tuju kelestariannya tahun lalu iaitu satu pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. 

 

"Hala tuju tersebut disokong komitmen TNB mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035," jelas TNB. 

 

Vantage RE telah dilancarkan pada 1 Julai 2021 bagi memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset tenaga boleh baharu TNB di UK dan Eropah. 

 

Sehingga kini, ia telah mencapai portfolio RE sebanyak 530.4MW termasuk tenaga angin dalam dan luar pesisir serta ladang solar di negara tersebut.

 

Sehingga Disember 2021, TNB mempunyai jumlah kapasiti RE sebanyak 3,487.2 MW termasuk 2,771.4MW di Malaysia dan 715.8MW di seluruh UK, Turki dan India serta menyasarkan peningkatan kapasiti RE kepada 8,300MW menjelang 2025. - DagangNews.com