TNBtemujanji, khidmat janji temu Kedai Tenaga TNB dalam talian | DagangNews Skip to main content

TNBtemujanji, khidmat janji temu Kedai Tenaga TNB dalam talian

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini boleh mengurangkan waktu menunggu untuk melakukan sebarang transaksi di Kedai Tenaga menerusi perkhidmatan janji temu dalam talian baru iaitu TNBtemujanji.

 

TNBtemujanji yang mula diperkenalkan pada 28 Jun 2021, adalah satu platform digital dengan nilai tambah yang membolehkan pelanggan membuat janji temu di 117 daripada 123 Kedai Tenaga di Semenanjung Malaysia. Kedai Tenaga yang selebihnya pula akan mula menggunakan perkhidmatan ini menjelang hujung bulan ini.

 

Pelanggan hanya perlu melayari portal myTNB (www.mytnb.com.my/TNBtemujanji) untuk memilih Kedai Tenaga pilihan mereka dan menetapkan tarikh serta waktu lawatan. Pelanggan boleh memilih tarikh janji temu sekurang-kurangnya satu hari bekerja lebih awal dan menjadual semula janji temu mengikut keselesaan mereka.

 

Ketua Pegawai Retail (Chief Retail Officer) TNB, Datuk. Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, ia adalah penting di TNB untuk menawarkan lebih banyak nilai tambah kepada pelanggan, sejajar dengan usaha TNB meneroka cara-cara baharu bagi memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan berinteraksi..

 

“Meskipun kami giat mendigitalkan pelbagai pilihan interaksi yang ditawarkan di Kedai Tenaga ke dalam platform myTNB bagi memberikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan, kami juga memahami bahawa terdapat pelanggan yang lebih suka untuk berinteraksi dengan kami secara bersemuka.

 

“Dengan adanya platform dalam talian bagi membuat janji temu, pelanggan dapat merancang jadual mereka dengan lebih baik berbanding terpaksa menunggu lama bagi giliran mereka. Ini juga adalah antara langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan dan pekerja kami menerusi kawalan kumpulan yang lebih baik di Kedai Tenaga semasa pandemik ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Megat
Megat Jalaluddin Megat Hassan

 

 

Sejak diperkenalkan, TNBtemujanji telah menerima sambutan yang menggalakkan dengan lebih 4,600 janji temu telah dibuat. Selangor, Kuala Lumpur dan Johor adalah tiga negeri yang menerima permohonan janji temu tertinggi.

 

TNBtemujanji menawarkan semua jenis transaksi yang boleh dilakukan di Kedai Tenaga termasuk permohonan bekalan, pembayaran balik deposit dan menyelesaikan isu pengebilan. Waktu janji temu boleh dipilih dari slot masa setiap 30 minit bermula dari jam 9:00 pagi sehingga 30 minit sebelum waktu operasi Kedai Tenaga berakhir. Sejurus selepas janji temu dibuat, pelanggan akan menerima satu notifikasi pengesahan menerusi emel dan SMS berserta kod QR janji temu sebagai rujukan.

 

Apabila pelanggan berada di Kedai Tenaga yang dipilih bagi janji temu, mereka hanya perlu menunjukkan kod QR tersebut kepada pegawai Perkhidmatan Pelanggan. Pelanggan digalakkan untuk membawa bersama kad pengenalan dan bil elektrik mereka (salinan digital dari myTNB atau salinan fizikal).

 

 

TNB

 

 

“Bagaimanapun, kami mengalakkan semua pelanggan untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa pandemik ini dan memanfaatkan platform myTNB sebaik mungkin bagi mengurangkan interaksi bersemuka yang tidak penting. Platform yang mudah digunakan dan mesra pengguna ini, memperkasa pelanggan untuk mengurus akaun mereka pada bila-bila masa, di mana jua,” tambah Megat.

 

Aplikasi myTNB ini boleh dimuat turun dari Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal myTNB boleh dilayari di pautan www.mytnb.com.my. Bagi pertanyaan lanjut mengenai TNBtemujanji atau myTNB, emel kepada tnbcareline@tnb.com.my atau hubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454. - DagangNews.com