Top Glove akui sekatan AS jejas operasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Top Glove akui sekatan AS jejas operasi di Malaysia

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad mengakui sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemasukan produk-produknya menjejaskan operasi kumpulan di Malaysia. 

 

Namun, kumpulan itu optimis keadaan berkenaan hanya sementara, dengan bekalan sarung tangan Top Glove dari kilang-kilang di negara lain masih boleh dibekalkan ke AS, menurut Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai. 

 

“Sudah tentu pengeluaran dari (kilang) Malaysia terjejas pada satu tahap, namun ini hanya sementara dan kami berharap Perintah Pelepasan Tahan (WRO) dari Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS akan ditarik semula dalam masa terdekat,” katanya dalam sebuah sidang akhbar berhubung perkembangan terkini isu sekatan CBP ke atas kumpulan hari ini. 

 

Kumpulan itu bagaimanapun tidak menilai jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat sekatan berkenaan, dan dalam masa sama mengakui AS merupakan pasaran penting buat Top Glove.

 

Turut hadir, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow, Pengarah Eksekutif Top Glove, Lim Cheong Guan dan pakar bebas hak asasi manusia, Andy Hall.

 

Pada 30 Mac lalu, CBP mendakwa pihaknya mempunyai bukti cukup untuk 'menuduh' Top Glove menggunakan buruh paksa dalam menghasilkan sarung tangan pakai buang.  

 

Sehubungan itu, jabatan berkenaan telah mengarahkan kakitangannya di pintu masuk pelabuhan AS untuk mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh syarikat sarung tangan terbesar dunia dari Malaysia tersebut. 

 

Sekitar seminggu selepas itu, CBP mengarahkan Top Glove untuk melakukan pembetulan dan pengesahan tambahan berhubung usahanya dalam menangani masalah buruh paksa.

 

Baca : Top Glove tidak pasti impak sekatan CBP ke atas kewangan, operasi

 

Berkata kepada media, Cheong Guan mendedahkan secara keseluruhannya terdapat 11 isu yang menjadi indikator kepada tindakan sekatan ke atas sarung tangan kumpulan itu. 

 

Enam daripada indikator itu telah berjaya diselesaikan termasuk penderaan, sekatan pergerakan, kerja lebih masa yang melampau, keadaan pekerjaan dan penginapan yang teruk, pengasingan dan penahanan gaji. 

 

Katanya, kumpulan juga memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM195 juta bagi pembelian dan pembinaan penginapan pekerja-pekerjanya.  

 

Sementara itu, Hall menegaskan bahawa tiba masanya kajian secara kritikal dilakukan ke atas rasional sekatan CBP yang bagi beliau, hanya ‘tertumpu’ kepada Top Glove. 

 

Malah, berdasarkan beberapa kes berkaitan hak asasi manusia yang sedang dijalankannya menunjukkan terdapat lebih banyak syarikat sarung tangan di negara ini, didakwa terpalit dengan isu sosial yang lebih teruk. 

 

“Tiba masanya kita melihat semula rasional dan menuntut alasan daripada CBP berhubung sekatan ini. Top Glove bukan sahaja tertakluk dengan WRO, malah penemuan bukti (findings), ketika lebih banyak syarikat sarung tangan di Malaysia mempunyai standard (kebajikan pekerja) yang lebih teruk.

 

“Jika findings itu melibatkan Top Glove, maka ia perlu dikenakan juga ke atas syarikat sarung tangan lain, malah industri lain juga,” tegas beliau. 

 

Sekitar Julai tahun lalu, dua anak syarikat Top Glove yang turut mengeluarkan sarung tangan pakai buang berdepan penguatkuasaan sama dari CBP berhubung isu pekerja. 

 

Top Glove menganggarkan eksport dari dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd menjejaskan separuh daripada penghantaran sarung tangannya ke AS, mewakili 12.5% daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Ketika urus niaga di Bursa Malaysia ditutup pada 5 petang, nilai saham Top Glove meningkat 49 sen atau 9.98% kepada RM5.40. - DagangNews.com