Top Glove berdepan kemerosotan pendapatan hingga 8% - MIDF | DagangNews Skip to main content

Top Glove berdepan kemerosotan pendapatan hingga 8% - MIDF

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Syarikat Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) terus dihimpit masalah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerjanya di Meru, Klang sekali gus menjejaskan prestasi perniagaan.

 

Dalam membuat penilaian terhadap impak wabak kepada prestasi pendapatan syarikat, MIDF Research berkata, Top Glove berdepan kemerosotan pendapatan hingga 8% sekiranya kilang syarikat berkenaan ditutup selama sebulan.

 

"Berdasarkan anggaran kami, pengurangan kapasiti pengeluaran akibat penutupan kilang selama dua minggu boleh mengakibatkan penurunan pendapatan bersih Top Glove sebanyak 4% untuk tahun kewangan 2021 dengan anggaran harga jualan adalah sama.

 

"Sekiranya operasi terjejas hingga sebulan, pendapatan bersih mungkin merosot sebanyak 8%.

 

"Bagaimanapun, purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi dilihat dapat mengurangkan penurunan semantara itu. Kami memahami bahawa kadar kenaikan ASP adalah sekitar 10% bulan ke bulan hingga Januari 2021," jelas MIDF Research.

 

Dalam makluman terbaharu daripada pihak kerajaan semalam, sebanyak 28 buah kilang Top Glove ditutup secara berperingkat untuk membolehkan para pekerja menjalani ujian saringan dan proses kuarantin.

 

Pelaksanaan tersebut diselaraskan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan syarikat Top Glove.

 

Sebanyak 1,067 kes baharu membabitkan pekerja Top Glove dilaporkan semalam.

 

Masalah berkenaan dilihat akan memberi kesan negatif kepada keupayaan pengeluaran kumpulan Top Glove sebanyak 50%.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research yang mengulas isu sama berkata, pihaknya menganggarkan penurunan pendapatan bersih ke atas syarikat Top Glove sebanyak -1.9% susulan penutupan 28 buah kilang di Meru, Klang.

 

"Dengan andaian bahawa semua 28 buah kilang di Meru Klang yang mengeluarkan 45 bilion keping sarung tangan tidak beroperasi selama dua minggu, kami menganggarkan bahawa ramalan keuntungan bersih Top Glove bagi tahun kewangan 2021 menurun -1.9%.

 

"Untuk setiap minggu 28 kilang tidak beroperasi, anggaran untung bersih kami untuk Top Glove akan dikurangkan sebanyak 0.9% lagi," tambah CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham bernilai RM10.00.

 

Sementara MIDF Research pula mengekalkan saranan 'beli' saham Top Glove dengan TP berjumlah RM10.96. - DagangNews.com