Top Glove pertimbang 'penyenaraian utama dua' di pasaran saham Hong Kong | DagangNews Skip to main content

Top Glove pertimbang 'penyenaraian utama dua' di pasaran saham Hong Kong

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) sedang menilai 'penyenaraian utama dua' di pasaran saham Hong Kong (HKEX). 

Penyenaraian utama dua atau dual primary listing bermaksud sesebuah syarikat tersenarai dalam dua pasaran saham utama yang berbeza.

Top Glove menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, cadangan itu masih pada tahap awal dan strukturnya belum dimuktamadkan. 

Jelas syarikat itu, perincian berhubung cadangan penyenaraian berkenaan akan dibuat kemudian. 

“Penyenaraian ini, sekiranya diambil membolehkan Top Glove memasuki pasaran saham lebih aktif dan cair (liquid), membesar dan mempelbagaikan asas pelabur serta menyediakan platform pengumpulan dana yang lain dan lebih besar untuk menyokong strategi pertumbuhan masa depan syarikat.

“Cadangan penyenaraian ini akan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan di Malaysia, Singapura dan Hong Kong serta bidang kuasa bersesuaian dan persetujuan daripada pihak berkepentingan syarikat,” kata Top Glove. 

Tambah Top Glove, lembaga pengarah syarikat akan mengedarkan sebarang maklumat berhubung cadangan penyenaraian itu kepada orang awam menerusi pengumuman di Bursa Malaysia Securities Berhad dan Singapore Exchange Securities Trading Limited (Singapore Exchange).

Ini masing-masing mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities dan Peraturan Utama Singapore Exchange.

Sementara itu, Bloomberg melaporkan Top Glove menyasarkan perolehan lebih AS$1 bilion daripada penyenaraian di Hong Kong. 

Berdasarkan laporan itu, perbincangan masih lagi berlangsung dan perincian tawaran bergantung kepada maklum balas pelabur. - DagangNews.com