'Total lockdown' fasa 1 mungkin dilanjut, MKN putuskan petang ini | DagangNews Skip to main content

'Total lockdown' fasa 1 mungkin dilanjut, MKN putuskan petang ini

'Total lockdown'

KUALA LUMPUR 11 Jun  - PKP penuh atau 'total lockdown' Fasa 1 yang dijalankan selama dua minggu sejak 1 Jun lalu bakal berakhir Isnin depan.

 

Sejak perintah berkenaan dijalankan, statistik jangkitan harian kes COVID-19 di negara ini menunjukkan sedikit perkembangan positif.

 

Kes jangkitan harian dilihat mula menunjukkan trend penurunan berbanding jumlah tertinggi 9,020 yang dicatatkan pada 29 Mei 2021.

 

Melalui kawalan berkenaan, Malaysia berjaya mengurangkan kes jangkitan harian kepada 5,271 kes pada 7 Jun baru-baru ini.

 

Disebalik perkembangan itu, jumlah jangkitan harian di Malaysia secara keseluruhannya masih belum mencapai tahap di bawah 4,000 kes.

 

Kebimbangan yang berterusan itu turut ditambah dengan angka kematian harian yang masih tinggi melebihi 70 kes.

 

Tidak cukup dengan itu, sebanyak 911 kes masih ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 462 kes masih memerlukan bantuan alat pernafasan. 

 

.

 

Menghampiri tarikh terakhir 'total lockdown' Fasa 1 itu, pelbagai jangkaan dibuat sama ada ia akan dilanjutkan atau sebaliknya.

 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang turut terlibat dalam perbincangan isu berkenaan memberitahu, jangkaan itu belum dapat dipastikan selagi keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum dibuat.

 

Menurutnya, MKN hari ini akan meneruskan sesi perbincangan dan mesyuarat seperti biasa.

 

"Kami akan bermesyuarat seperti yang kami jalankan setiap petang Jumaat. Agenda mesyuarat biasanya melibatkan pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

"Tapi, saya tidak pasti apa yang akan disampaikan," jelas beliau seperti dilapor TheStar.

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

 

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian yang melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

 

Fasa Kedua akan diteruskan sekiranya kes jangkitan harian berkurangan dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. 

 

Lockdown Fasa Kedua itu akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

 

Bagi Fasa Ketiga pula, PKP akan diteruskan dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi untuk beroperasi selain tertakluk kepada SOP yang katat selain kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

 

Keputusan peralihan dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh KKM.

 

Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19. - DagangNews.com