Touch 'n Go bekerjasama dengan CIMB perkenal perkhidmatan pinjaman peribadi digital menerusi GOpinjam | DagangNews Skip to main content

Touch 'n Go bekerjasama dengan CIMB perkenal perkhidmatan pinjaman peribadi digital menerusi GOpinjam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Touch 'n Go Group dengan kerjasama CIMB Bank Berhad memperkenalkan perkhidmatan GOpinjam yang menawarkan pinjaman peribadi bermula RM100 hingga 10,000 menerusi e-dompet Touch 'n Go.

 

Menerusi perkhidmatan itu, mereka yang memiliki gaji serendah RM800 sebulan adalah layak untuk memohon dengan tempoh bayaran bermula seminggu hingga setahun selain tiada sebarang caj tersembunyi bagi penyelesaian awal.

 

Individu yang berminat untuk membuat permohonan kali pertama, pelu menyediakan slip gaji selama sebulan atau penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama maklumat asas dan kelulusan akan diberikan dalam tempoh sehari bekerja.

 

Bagi permohonan berjaya, pijaman berkenaan akan disalurkan melalui e-dompet Touch ‘n Go eWallet atau akauan bank CIMB mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya menjalankan kajian terperinci sebelum melancarkan perkhidmatan itu dan memberikan penyelesaian terbaik kepada pelanggan.

 

"Elemen kertangkuman kewangan sentiasa menjadi keutamaan dan kami menjangkakan akan menjadi pilihan orang ramai yang tidak memiliki akses untuk mendapatkan pinjaman secara formal.

 

"Kami berjaya mewujudkan perkhidmatan ini menerusi situasi menang-menang bersama CIMB dengan menggunakan kekutan masing-masing dalam menyediakan penyelesaian pinjaman peribadi untuk mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati untuk memberi sokongan kepada perkhidmatan GOpinjam menerusi Pinjaman Peribadi CIMB e-Zi Tunai yang berteraskan kepada kerjasama bank dan e-dompet.

 

"Pembangunan ini adalah selaras dengan strategi jangka panjang kami dan hasrat Touch ‘n Go yang membolehkan mereka berkembang menjadi salah satu penyedia perkhidmatan kewangan digital bukan bank di Malaysia. 

 

"Ia juga secara tidak langsung membantu kerajaan dalam mewujudkan masyarakat bebas tunai," katanya.

 

GOpinjam sudah tersedia di aplikasi e-dompet untuk kegunaan rakyat Malaysia yang berusia melebihi 21 tahun. - DagangNews.com