Touch 'n Go eWallet luaskan pembayaran rentas sempadan ke Singapura | DagangNews Skip to main content

Touch 'n Go eWallet luaskan pembayaran rentas sempadan ke Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kumpulan Touch 'n Go melalui TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) yang merupakan pemilik serta pengendali Touch 'n Go eWallet mengembangkan keupayaan pembayaran rentas sempadannya ke Singapura, diterajui dengan penerimaan eWallet di teksi ComfortDelGro.

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, ia dilaksana melalui kerjasama dengan Alipay+, pembayaran digital rentas sempadan global dan penyelesaian pemasaran yang dikendalikan Ant Group.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, ComfortDelGro ialah pengendali rangkaian teksi terbesar di Singapura, mengendalikan kira-kira 9,000 teksi di seluruh bandar.

 

"Kami melihat ia sebagai peristiwa penting untuk mengembangkan pembayaran kami kepada Singapura dan kami amat berbesar hati kerana dapat memberikan pengguna kami kemudahan tambahan dan kes penggunaan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Alan berkata, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, pihaknya menjangkakan pengguna akan menikmati penggunaan e-dompet selepas Singapura mempunyai lebih banyak titik penerimaan dan ia akan membantu melancarkan penggunaan sama seperti di Malaysia.

 

"Kami akan terus berusaha untuk mengembangkan rangkaian penerimaan kami pada masa akan datang," katanya.

 

Pengurus Besar Perkongsian Pembayaran Global Alipay+ Ant Group, Cheng Guoming berkata, Touch 'n Go eWallet rakan rapat mereka dan merupaka peneraju dompet mudah alih yang memiliki lebih 17 juta pengguna tempatan. 

 

"Kerjasama terkini bersama Alipay+ akan meluaskan lagi penggunaan rentas sempadannya dan membolehkan penggunanya mengembara dengan menggunakan perkhidmatan itu di luar negara. 

 

"Pada masa pra-pandemik lebih 350,000 orang berulang-alik setiap hari antara Malaysia dan Singapura menyeberangi tambak dan pembukaan semula sempadan antara Malaysia-Singapura serta kerjasama dengan Alipay+ adalah tepat pada masanya," katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi kerjasama baharu itu pengguna Touch 'n Go eWallet boleh menikmati diskaun bagi meraikan pelancarannya.

 

Pengguna layak mendapat diskaun segera, bermula RM4 dan RM6, daripada jumlah tambang apabila mereka menaiki teksi ComfortDelGro pada aplikasi Touch 'n Go eWallet sehingga 25 Jun 2022. Diskaun berbeza pada minggu berbeza dan dihadkan pada 300 transaksi pertama setiap hari. - DagangNews.com