Toyota perkenal Sistem Telematik dan Aplikasi Bantuan Jalanan 24Seven | DagangNews Skip to main content

Toyota perkenal Sistem Telematik dan Aplikasi Bantuan Jalanan 24Seven

SHAH ALAM 15 Sept – UMW Toyota memperkenalkan aplikasi mudah alih Bantuan Jalanan 24Seven Toyota, bagi membantu pemilik kereta semasa kecemasan di jalan raya.

 

Ditawarkan pertama kali dalam industri, apa yang diperlukan kini hanyalah beberapa leretan di telefon anda untuk meminta bantuan segera, walaupun bagi perkara sekecil kehabisan minyak atau kebocoran tayar.

 

Apa yang perlu dilakukan adalah dengan meminta bantuan menerusi aplikasi mudah alih di telefon, dan bantuan akan tiba sepantasnya. Sudah tentu, jika anda lebih gemar untuk bercakap dengan seseorang di talian, anda masih boleh menghubungi talian bebas tol Toyota 1-800-888-247.

 

Semasa kecemasan, pemandu sering merasa resah dan tidak tahu apa sepatutnya yang perlu dilakukan, bahkan sama ada bantuan akan tiba atau sebaliknya. Inilah masalah yang ingin ditangani oleh aplikasi mudah alih Bantuan Jalanan 24Seven Toyota.

 

Ciri utama yang dibina dalam aplikasi mudah alih ini termasuklah butang SOS dengan ciri pengesanan jejak masa nyata. Pengguna boleh menjejak laluan perjalanan dan masa bantuan akan tiba kepada mereka. Jaminan selanjutnya ialah bantuan berkenaan datangnya dari cawangan rasmi Toyota atau penyedia perkhidmatannya.

 

Pemilik kenderaan mempunyai pilihan untuk mendapatkan bantuan dari cawangan Toyota kegemaran mereka bagi servis semua yang ditawarkan 24 jam sehari, 7 hari seminggu, sepanjang tahun di seluruh negara.

 

Presiden UMW Toyota, Ravindran K berkata, pihaknya telah menyediakan Bantuan Jalanan 24Seven Toyota kepada pelanggan sejak 20 tahun lalu.

 

Beliau berkata, perkhidmatan ini terus diberi penambahbaikan bagi memastikan pelanggan tidak perlu risau ketika berada di jalanan.

 

Menurutnya, dengan perkembangan teknologi mudah alih yang semakin maju, langkah seterusnya bagi kami adalah untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih yang membawa servis ini ke tahap lebih tinggi.

 

Bantuan Jalanan 24Seven Toyota menawarkan baik pulih kecil di lokasi serta khidmat tundaan (hingga 50 km) kepada pemilik kenderaan Toyota (tertakluk kepada terma dan syarat).

 

 

toyota

 

 

SISTEM TELEMATIK KENDERAAN TOYOTA

Ravindran berkata, mobiliti terhubung merupakan sebuah konsep yang merevolusikan industri automotif danmemberikan kelegaan fikiran kepada pemilik kenderaan.

 

Dalam kes Toyota kata beliau, aplikasi mudah alih Bantuan Jalanan 24Seven Toyota turut dihubungkan dengan Sistem Telematik Kenderaan Toyota (VTS) yang dibina di dalam model kenderaan generasi terbaru Toyota.

 

‘’Ini membolehkah pemandu mempunyai hubungan lebih peribadi dan unik dengan kenderaan mereka, sebuah interaksi yang tidak boleh dinikmati 20 hingga 30 tahun lalu,’’ jelas beliau.

 

VTS mula diperkenalkan oleh syarikat pada tahun 2019, dan sejak itu telah memberi manfaat kepada ramai pelanggan Toyota melalui aplikasi mudah alihnya.

 

Dengan VTS, kenderaan boleh dipantau menggunakan GPS, dan lokasinya boleh dikenal pasti melalui aplikasi mudah alih. Ini tidak hanya membantu pihak berkuasa yang terlibat untuk mengesan dan menemukan semula kenderaan jika perlu, tetapi sistem ini juga boleh mengesan impak untuk membolehkan khidmat kecemasan dihantar ke lokasi jika ada keperluan.

 

VTS turut membolehkan pemilikan kenderaan untuk melihat semula sejarah perjalanan dengan laporan minit ke minit, jarak yang dilalui, dan tempoh keseluruhan perjalanan.

 

Penawaran lain pada aplikasi mudah alih ini ialah kebolehan untuk melihat semula corak pemanduan ketika dalam perjalanan serta menetapkan parameter keselamatan untuk memantau perjalanan orang tersayang bila perlu, terutama bagi pemandu baru dan masih muda.

 

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, dengan teknologi makin maju, kereta juga begitu.

 

‘’Ini tidak dapat dielakkan, dan kita telah melihat kenderaan berevolusi sejak 20 ke 30 tahun lalu untuk menjadi lebih selamat, bersih, lebih ekonomi, menawarkan prestasi lebih baik, dan kini berkembang untuk menjadi lebih pintar dan boleh menawarkan interaksi lebih meluas kepada pemandu. Pengangkutan dan komunikasi bakal saling terhubung untuk memberikan manfaat di masa depan, dalam era keterhubungan mobiliti," katanya. – DagangNews.com