TPG Capital, Johor Corp dilapor pertimbang jadikan KPJ Healthcare syarikat persendirian | DagangNews Skip to main content

TPG Capital, Johor Corp dilapor pertimbang jadikan KPJ Healthcare syarikat persendirian

Sekadar gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Johor Corporation dan firma ekuiti dari Amerika Syarikat (AS), TPG Capital dilaporkan dalam pertimbangan untuk menjadikan KPJ Healthcare Berhad sebuah syarikat persendirian. 

 

Kedua-dua pihak tersebut didakwa sedang berbincang dengan institusi perbankan untuk membiayai langkah tersebut, menurut sumber seperti dilaporkan Bloomberg

 

Bagaimanapun, perbincangan tersebut dikatakan masih berjalan dan dalam masa sama, firma AS dan syarikat milik kerajaan negeri Johor itu boleh memilih untuk tidak meneruskan perancangan berkenaan. 

 

Ketua Komunikasi Korporat Johor Corp, Hasnina Hafiz dalam maklum balas kepada Bloomberg memberitahu bahawa syarikat itu sentiasa menyemak dan menilai pelaburan untuk memperkukuhkan portfolio. 

 

Sebarang pengumuman akan dibuat mengikut keperluan Bursa Malaysia, katanya. 

 

Menurut laman web KPJ, Johor Corp merupakan pemegang saham yang terbesar dengan kepentingan langsung 36.07% atau mewakili 1.54 billion saham dengan kepentingan tidak langsung pada kadar 2.56%. 

 

Pemegang kepentingan besar ekuiti KPJ lain termasuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

 

KPJ mula ditubuhkan pada tahun 1981 sebagai hospital pakar swasta di Johor dan kini memiliki lebih daripada 28 buah hospital yang terletak di seluruh negara. 

 

Ketika laporan ditulis, harga saham KPJ telah menokok 4.31% atau 5 sen kepada RM1.21 dengan nilai pasaran RM5.40 bilion. - DagangNews.com