Transformasi digital Malaysia di landasan tepat – MYNIC | DagangNews Skip to main content

Transformasi digital Malaysia di landasan tepat – MYNIC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Syarikat pendaftaran rasmi untuk nama domain .MY, MYNIC Berhad  percaya bahawa Malaysia di landasan betul ke arah transformasi digital.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan (gambar atas), tahun 2020 telah membuktikan bahawa pendigitalan memainkan peranan penting.

 

Katanya, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara tidak langsung telah mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan di Malaysia.

 

“Pendigitalan telah mempercepatkan pertumbuhan e-perdagangan, pembayaran dan proses digital selain menekankan pentingnya perniagaan untuk wujud dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, MYNIC turut menawarkan 20,000 domain .BIZ.MY bernilai RM1.6 juta kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro untuk membantu mereka beralih kepada digital.

 

"Kebanyakan kedai terpaksa ditutup kerana mereka kehilangan pelanggan ketika PKP dan perniagaan-perniagaan yang terjejas itu majoritinya tidak dibawa ke platform digital.

 

“Mereka yang memasarkan perniagaan menerusi dalam talian dan e-perdagangan sebaliknya dapat kekal bertahan dan ada yang sehingga dapat mengembangkan perniagaan mereka.

 

“Peralihan pesat daripada pembelian fizikal kepada dalam talian merupakan satu trend yang akan kekal dan terus membolehkan ramai rakyat Malaysia untuk mengadaptasi digital,” tambah beliau.

 

Sebagai langkah untuk membawa perniagaan digital sesuatu yang signifikan, ujar Hasnul, MYNIC bersama-sama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus memupuk pertumbuhan sektor itu menerusi pelancaran inisiatif baharu, PRIME. – DagangNews.com