Tubuhkan Jawatankuasa Pemantau SemarakNiaga | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 23 February 2022

Tubuhkan Jawatankuasa Pemantau SemarakNiaga

 

 

 

TAHUN 2022 bakal menginjak ke suku tahun pertama minggu hadapan. Adakah ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang antara 5.5% hingga 6.5% pada tahun ini berada pada landasan yang betul dan boleh dicapai?

 

Seperti yang kita sedia maklum pandemik COVID-19 telah membawa Kadar Dalam Negara Kadar (KDNK) menguncup sehingga 4%-6% dan kadar pengangguran meningkat sehingga 5% - 7%.

 

Apa yang Kerajaan bantu?

Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah, tindakan yang proaktif dengan pelbagai rangsangan ekonomi dan Bajet yang berjumlah RM322.5 bilion bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat, kelangsungan perniagaan dan daya tahan ekonomi.

 

Risiko prospek 2022 masih kekal

Dengan segala rangsangan ekonomi yang dilakukan oleh Kerajaan, Malaysia berkedudukan baik untuk melakukan pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi.

 

Walaupun bagaimanapun, risiko kepada prospek bagi tahun 2022 tetap ada disebabkan pertumbuhan global yang masih lemah dan gangguan rantai bekalan yang masih berlaku.

 

Inflasi juga dijangka kekal sederhana pada 2022 apabila kesan peningkatan tekanan dikekang oleh prestasi ekonomi dan pasaran buruh yang perlahan.

 

PMKS perlu bangkit

Walaupun risiko pemulihan ekonomi bagi tahun ini tetap ada, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu dibantu untuk bangkit.

 

PMKS telah mengalami penguncupan sebanyak 7.3% pada tahun 2020. PMKS juga menyediakan lebih 7 juta peluang pekerjaan dan menyumbang 40% kepada KDNK negara dan lebih 13% kepada eksport negara.

 

Disebabkan pentingnya PMKS ini, Kerajaan perlu memastikan sektor perniagaan akan terus berdaya tahan  meneruskan kelangsungan.

 

Ismail Sabri Lancar SemarakNiaga Keluarga Malaysia

Isnin lalu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri telah melancarkan SemarakNiaga Keluarga Malaysia.


 

PM

 


SemarakNiaga bukanlah inisiatif baharu Kerajaan. SemarakNiaga ini ialah sebahagian daripada strategi induk Bajet 2022 bernilai RM40 bilion  yang bertujuan untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula terutama PMKS.

 

Semakan Niaga dilihat akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada PMKS termasuk pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti yang boleh dimanfaatkan oleh PMKS.

 

Inisiatif SemarakNiaga Keluarga Malaysia

Semua PMKS di Malaysia perlu mengambil peluang ini yang ditawarkan oleh Kerajaan bagi membantu PMKS untuk bangkit semua demi meneruskan kelangsungan perniagaan. Antara inisiatif yang boleh diambil oleh PMKS di bawah Inisiatif SemarakNiaga ialah:

 

  1. Pinjaman Mikro
  • Jumlah: RM1.8 bilion
  • Kadar pinjaman: Ditentukan oleh institusi kewangan
  • Saiz: Perusahaan Mikro (termasuk pekerja sambilan (gig workers) yang menggunakan platform digital dan pekerja yang bekerja sendiri), sehingga RM50,000
  • Tempoh: Sehingga 5 tahun

 

  1. Pinjaman Mudah PKS
  • Jumlah: RM14.2 bilion
  • Kadar pinjaman: Sehingga 5% setahun
  • Amaun: Sehingga RM5 juta
  • Tempoh: Sehingga 10 tahun

 

  1. Pembiayaan Ekuiti/ Alternatif
  • Jumlah: RM2.2 bilion
  • Kadar pinjaman: sehingga 3.5% setahun (bagi pembiayaan kredit) + dividen (ditentukan oleh pembiaya ekuiti)
  • Tempoh: Sehingga 10 tahun

 

  1. Jaminan SJPP
  • Jumlah : RM2 bilion
  • Kemudahan Modal Kerja/ CAPEX untuk Pembiayaan Baharu: 80% daripada pembiayaan diperoleh daripada Institusi Kewangan Peserta (termasuk prinsipal dan faedah/keuntungan) oleh Kerajaan Malaysia
  • Penstrukturan semula kemudahan pembiayaan sedia ada dan/atau Modal Kerja tambahan: 80% daripada pembiayaan diperoleh daripada Institusi Kewangan Peserta (termasuk prinsipal dan faedah/keuntungan) oleh Kerajaan Malaysia

 

Bantu perniagaan berdepan masalah keberhutangan (gearing)

Melalui inisiatif yang ditawarkan oleh SemarakNiaga dilihat mampu untuk membantu perniagaan yang mempunyai masalah keberhutangan yang tinggi.

 

Melalui SME Bank, Teraju, BSN dengan dana melebihi RM60 juta perlu dimanfaatkan oleh PMKS. Selain itu Skim Rehabilitation and Support Through Equity (RESET) yang bernilai RM500 juta, Kemudahan Permodalan Semua Perniagaan (BRF) Bank Negara Malaysia bernilai RM1 bilion dan Pendanaan Ekuiti Ramai (ECF) dan Pembiayaan Antara Rakan Setara (P2P) SC MyCIF bernilai RM80 juta adalah dilihat menjadi penyelesaian terbaik bagi menyelesai masalah perniagaan yang mempunyai hutang yang tinggi ini.


 

PM

 


Longgarkan Syarat dan Mudahkan Proses

Walaupun dengan pelbagai inisiatif di bawah SemarakNiaga, kebimbangan PMKS ialah permohonan mereka ditolak.

 

Sebelum ini, beberapa bank masih melaksanakan syarat pembiayaan yang ketat bagi PMKS. Banyak juga PMKS yang telah diletakkan di bawah  Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar balik pinjaman.

 

Ya, memang PMKS ini tidak mampu membayar pinjaman akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan perniagaan mereka mengalami kerugian yang teruk.

 

Syarat ini boleh dilonggarkan supaya PMKS yang benar-benar memerlukan pinjaman kewangan  boleh mendapat manfaat daripada Semarak Niaga sebagai suntikan modal kepada perniagaan mereka.

 

Ada juga bank yang meletakan syarat PMKS perlu mengemukakan unjuran perniagaan mereka dengan kenaikan yang stabil melebihi 10 %.

 

Berilah ruang untuk PMKS ini untuk ini “benar-benar bernafas” dengan longgarkan syarat dan mudahkan proses jika Kerajaan ingin benar-benar ingin membantu.


 

PM

 


Pastikan Matlamat SemarakNiaga Tercapai

Dalam usaha membantu PMKS ini, Kerajaan perlu pastikan matlamat SemarakNiaga ini tercapai.  Semarak Niaga perlu memastikan PMKS  mampu membina ketahanan kewangan dan membantu PMKS dari segi meningkatkan kemahiran pekerja.

 

Selain itu, tumpuan dalam SemarakNiaga perlu untuk memastikan PMKS melakukan pembaharuan ke arah sebuah ekonomi yang lestari dengan mengambil kira perubahan Transformasi Digital dan Revolusi Industri 4.0.

 

Bagaimana hendak pastikan semua matlamat SemarakNiaga tercapai?

Kerajaan perlu mewujudkan Jawatankuasa Pemantau yang memantau dan mengawal selia pelaksanaan SemarakNiaga.

 

Ia perlu untuk memastikan keberkesanan SemarakNiaga  dan bukan hanya cantik “di atas kertas” sahaja.

 

Jawatankuasa ini boleh membentangkan perkembangan pelaksanaan SemarakNiaga bagi memastikan ia mencapai matlamat seperti yang dirancang.

 

Peranan dan fungsi Jawatankuasa Pemantau boleh “digabung jalinkan” atau diletak fungsinya bersama Akta Tanggungjawab Fiskal.


 

volatiliti

 


Penciptaan pekerjaan & ekonomi mampan

Jika Semarak Niaga dapat dilaksanakan dengan baik, ia bakal mencipta pekerjaan yang dalam usaha pemulihan ekonomi negara dan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara.

 

Dengan peluang pekerjaan yang baik akan membawa aliran masuk pelaburan asing (FDI) yang dijangka berjumlah lebih RM60 bilion dan bon tempatan melebih RM33 bilion tahun ini. Keadaan ini juga bakal meningkatkan jumlah perdagangan luar yang dianggarkan mencecah lebih dari RM2 trilion.

 

Jika Kerajaan mahu memulihkan dan meningkatkan daya tahan ekonomi, PMKS perlu diberi perhatian untuk dipulihkan.

 

Persoalannya adakah SemarakNiaga mampu bantu perniagaan untuk bangkit semula?     - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags