Skip to main content

Tuduhan Presiden KFA terhadap JDT tidak berasas

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menunduh Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak melunaskan bayaran perpindahan Akhyar Rashid pada 2018 - Gambar ihsan Facebook Johor Southern Tigers

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Johor Darul Ta'zim (JDT) menyifatkan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa kelab itu tidak membayar pampasan terhadap perpindahan Akhyar Rashid sebagai tuduhan tidak berasas.

 

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan berkata, mereka telah mengeluarkan sekeping cek RM100,000 kepada KFA pada 31 Disember 2018 bagi menyelesaikan perkara itu bagaimanapun KFA memulangkan semula kerana mahu membuat rayuan berhubung perkara itu.

 

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar Rashid selepas pemain itu menamatkan kontrak dengan Kedah.

 

"Mahkamah Timbang Tara Sukan kemudiannya membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.

 

"Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas."

 

Semalam, Sanusi mendakwa JDT tidak menjelaskan pampasan yang sepatutnya dibayar KFA berhubung perpindahan kontroversi pemain itu ke kelab berkenaan sebelum ini.

 

jdt22

 

"Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan bahawa mereka (JDT) perlu membayar kepada Kedah, tetapi mereka masih belum menjelaskan bayaran itu, bagi saya ini aneh memandangkan mereka mendakwa sebagai kelab kaya.

 

mb
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor 

 

"Dia ajak saya turun ke sana untuk selesaikan isu ini tetapi saya enggan, saya tidak buat apa-apa silap jadi kenapa perlu ke sana. Kami mungkin miskin, tetapi kami tetap berbangga dan jangan sesekali memandang rendah pasukan miskin," kata Sanusi.-Dagangnews.com