Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Iktisad - 4 January 2022

Tuduhan tidak berasas terhadap kewangan Islam, jawablah dengan berilmiah

 

DENGAN kedatangan tahun 2022, menandakan sudah lebih daripada 38 tahun kewangan Islam bertapak di tanahair dengan tertubuhnya Bank Islam (Malaysia) Bhd. pada 1983. Walaupun penerimaan sistem kewangan Islam berkembang pesat dan diterima di kebanyakan negara luar, namun, masih ada kedengaran suara sumbang yang mengatakan sistem ini masih lagi bergelumang dengan riba yang diharamkan Allah. 

 

'Back door riba' dan 'tukar perkataan interest kepada keuntungan' adalah sebahagian tohmahan yang sering didendangkan.

 

Penulis tidak mahu mengulas tentang pendapat mereka, tetapi ingin menyarankan 4 jawapan yang mungkin berguna dalam menangani isu ini.

 

PERTAMA
Kenali siapa yang melemparkan tuduhan tersebut. Kalau ia dilontar oleh para sahabat yang tidak mempunyai latar belakang kewangan Islam atau syariah maka penulis merasakan kita akan banyak 'buang masa' bertegang leher dengan mereka. Jadi, usah layan dan nasihat mereka untuk pergi mencari ilmu di kursus-kursus tersedia untuk menghadam asas syariah dahulu.

 

KEDUA
Jika yang menuduh itu daripada golongan syariah, adalah bijak kalau kita jangan berdebat dengan mereka. Lebih baik diam tanpa berhujah sambil menasihati mereka untuk berbincang dengan ustaz-ustaz penasihat syariah yang seangkatan dengan mereka. Barulah 'bahasa' mereka seia sekata dalam perbahasan.

 

KETIGA
Penulis menyarankan kita ambil kritikan mereka dan membandingkannya dengan resolusi-resolusi syariah yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan juga Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Rujukan boleh juga dibuat kepada warta-warta yang dikeluarkan oleh para penasihat syariah institusi kewangan Islam yang berfungsi di bawah Dokumen Dasar Tadbir Urus Syariah. Oleh demikian, ilmu diri akan terus berkembang.

 

KEEMPAT
Sekiranya tuduhan tersebut daripada para ulama luar negara, maka kita boleh beritahu mereka yang sistem kewangan di Malaysia ini beroperasi di bawah penyeliaan ulama-ulama yang cerdik lagi pandai seperti mereka juga. Maka, kita di Malaysia haruslah menuruti segala keputusan yang digariskan oleh para ulama di sini. Kalau kita ingin beroperasi kewangan di negara mereka, kita akan ikut keputusan mereka. Kalau mereka mahu beroperasi di Malaysia, mereka perlu juga menghormati keputusan ulama di sini.

 

Akhir kata, tahun 2022 diharap dapat mengembalikan kegemilangan kewangan Islam yang terbantut akibat daripada pandemik COVID-19. 

 

Sebagai rakyat marhaien kita seharusnya menghormati keputusan yang telah diisytihar oleh para ulamak dalam kewangan Islam.

 

Selamat tahun baharu. Semoga kedatangan 2022, menjadi tahun kita bina semula ekonomi negara. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags