Tujuh organisasi pelbagai bidang raih Anugerah GeoInovasi Esri Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tujuh organisasi pelbagai bidang raih Anugerah GeoInovasi Esri Malaysia

(Dari kiri) Ketua Saintis Sime Darby Plantation Research Sdn Bhd, Mohd Zahlan Mohd Zaki; Ketua Unit Pengurusan Maklumat Geospatial PeGIS, Abdul Azhar Ibrahim; Presiden dan Pentadbir Majlis Perbandaran Kulim, Dr Nadzman Mustafa; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak, Datu Abdullah Julaihi; CS Tan; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman; Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Pengarah PLANMalaysia@PulauPinang, Rozita Hamit.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Tujuh organisasi pelbagai bidang di Malaysia meraih Anugerah GeoInovasi anjuran Esri Malaysia, sekali gus menyaksikan keberkesanan dan peningkatan penggunaan teknologi geospatial dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

 

Majlis anugerah tersebut meraikan inisiatif transformasi digital yang paling berjaya dari pelbagai industri. 

 

Antara pemenangnya ialah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), Sime Darby Plantation Research Sdn Bhd, PLANMalaysia@Pulau Pinang, dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PeGIS) dalam pembangunan aplikasi mudah alih Penang Stops Violence.

 

Aplikasi tersebut sebagai medium untuk membantu mangsa terlibat mendapatkan bantuan awal daripada Pegawai Sokongan Pertama. Penang Stops Violence ialah aplikasi khas untuk membantu golongan Wanita di Pulau Pinang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan berkata, mereka telah menyaksikan bagaimana teknologi geospatial menyokong strategi transformasi digital di beberapa organisasi yang paling progresif di negara ini. 

 

"Kami berasa terharu dan bertuah menyaksikan kepintaran organisasi berkenaan menangani cabaran dunia sebenar terutamanya apabila tiada penyelesaian secara tradisional," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tanpa mengira bidang atau industri yang memanfaatkan teknologi geospatial, Tan berkata, perkembangan dan pembangunan teknologi berkenaan ternyata membantu pemimpin untuk membuat keputusan berdasarkan data dalam menangani masalah bandar yang kompleks serta pada masa sama menyokong organisasi komersil dalam menangani ketidakcekapan dalam operasi mereka. 

 

"Esri Malaysia berasa bangga untuk menyaksikan segala impak ini dalam memperkasakan dan membolehkan pembuat keputusan melakukan perubahan positif kepada perniagaan dan masyarakat serta kami berharap ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak dalam perjalanan ke arah pendigitalan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Sime Darby Plantation Research Sdn Bhd ditugaskan untuk membangun, mengaplikasi dan memindahkan pengetahuan, penemuan kaji selidik dan teknologi berkaitan untuk menambah baik hasil perladangan, proses pengilangan dan menyesuaikan produk pertanian/perladangan/komoditi. 

 

Beroleh kemenangan di atas projek, Pengurusan Data Spatial & Analitis Pantas atau SMART yang merupakan platform geospatial sesawang mudah alih yang dibangunkan oleh Unit Precision Agriculture; pusat penyelidikan geospatial Sime Darby Plantation Research Sdn Bhd. 

 

JTS Malaysia menerima pengiktirafan melalui projeknya, eLASIS dan Mobile LASIS (kesinambungan eLASIS). eLASIS dibangunkan dan berperanan sebagai sebuah pusat maya sehenti bagi melaksanakan transformasi digital sistem penyampaian perkhidmatan jabatan selaras dengan misi membawa perkhidmatan yang mudah dicapai oleh seluruh lapisan rakyat.

 

PLANMalaysia@Pulau Pinang yang melaksanakan tugas utama perancangan bandar dan luar bandar termasuk penyediaan Pelan-Pelan Pemajuan. Aplikasi pemetaan SMARTPLAN secara online seperti MyKAMPUNG, membolehkan PLANMalaysia@Pulau Pinang berkongsi data dan menjalin kerjasama dengan lebih berkesan bersama agensi kerajaan dan pihak berkepentingan. - DagangNews.com